Seni Drama Islamik: Sifat Pengarah dan Proses Kepengarahan

Similar documents
(The Human Soul Based on the Opinion of Fakhr al-din al-razi) ELBAHLOUL MOHAMED HUSSEIN* MOHD NASIR OMAR AHMAD SUNAWARI BINLONG MUDASIR BIN ROSDER

وظاي ف الدولة الا سلامية (The Duties And Function Of An Islamic State)

PROCEEDING 2ND INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAMIC EDUCATION AND LAW (2ND ICIEL)

SULIT P2115-EKONOMI DARI PERSPEKTIF ISLAM/JAN 08

ABSTRACT Muslim youth face many challenges today due to the huge scientific development. New information technologies can be considered one of the mos

FEAR OF CRIME WITHIN NON-GATED RESIDENTIAL COMMUNITIES IN THE URBAN CONTEXT SITI AISHAH BINTI AHMAD KAMIL

WPK 213 Wajah sebenar Psikologi Islam Sifat Psikologi Islam Psikologi Moden Persamaan dan Perbezaan Psikologi Islam & Barat

NOTA 5: PANDUAN MENGHASILKAN LAMAN (SITES) 1.1 Pengenalan

IMPROVING ENERGY SAVING EVALUATION IN LIGHTING USING DAYLIGHT UTILIZATION WITH AREA SEGREGATION TECHNIQUE MOHAMMAD ASIF UL HAQ

(The rise of al-ahbash movement and Its Impact in Malaysia) Faculty of Islamic Civilization, Universiti Teknologi Malaysia

(The Peaceful Coexistence Amongst Religions In Islam)

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA WESTERN EXISTENTIALISM IN SELECTED TRANSLATED MALAY ABSURD PLAYS FROM AN ISLAMIC PERSPECTIVE COPYRIGHT UPM

Proses Penyelidikan Tindakan. MTE3133: Penyelidikan Tindakan

METAPHOR ANALYSIS OF DR. MAHATHIR S BUSINESS SPEECHES ALIAKBAR IMANI

SPM4342 PEMBANGUNAN SISTEM PEMBELAJARAN BERASASKAN WEB PRINSIP ASAS MEREKA BENTUK WEB

THE PREVAILING PRACTICE IN DECIDING THE PRACTICAL COMPLETION OF CONSTRUCTION WORK. MOHAMMAD HARITH BIN MOHD YUNOS

Rab a ban a i Syu y m u u m l Umu m m a -taw a az a u z n a -was a h s o h thi h ya y h a -thu h b u ut u iya y h wal m t u a t g a ha h y a i y rat

COMMON CONTRACTUAL ISSUES FACED BY MALAYSIAN CONTRACTORS OPERATING IN MIDDLE EAST USING FIDIC FORM OF CONTRACTS

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA QURANIC ONTOLOGY FOR RESOLVING QUERY TRANSLATION DISAMBIGUATION IN ENGLISH-MALAY CROSS-LANGUAGE INFORMATION RETRIEVAL

TINDAKAN PIHAK BERKUASA NEGERI DAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN TERHADAP KES PELANGGARAN SYARAT GUNA TANAH

reflective thought is the active, careful and persistent examination of any belief or purported form of knowledge, in the light of the grounds that

SPM4342 KONSEP ASAS DALAM WEBPAGE

SCHOOL OF PHYSICS LOGO DESIGN CONTEST

EVALUATION USABILITY MEASUREMENT INDEX FOR HIGHER EDUCATION INSTITUTE MUHAMMAD ALIIF BIN AHMAD

FACTORS THAT AFFECT KNOWLEDGE SHARING AMONG EMPLOYEES IN MULTINATIONAL ORGANIZATION YASER HASSAN HASSAN AL-QADHI UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

M2-1: Proses Penyelidikan Tindakan MTE3113: PENYELIDIKAN TINDAKAN

Kata kunci: peranan televisyen, pengaruh televisyen, cabaran dakwah televisyen, Teori Kognitif Sosial, kandungan syariat Islam.

Keywords : The Khawarij Religious Views- Purposes of poem Traces of the Quran Characteristics

Lampiran A : PETA NEGERI KEDAH

HUBUNGAN ANTARA GANJARAN DAN ETIKA KERJA ISLAM DENGAN KOMITMEN DALAM KALANGAN PEKERJA DI JABATAN PEMBANGUNAN PERSEKUTUAN KELANTAN

MOLECULAR PHYLOGENY OF SELECTED MANGO CULTIVARS BASED ON INTERNAL TRANSCRIBED SPACER (ITS) REGION SHAHKILA MOHD ARIF

TERMINATION OF CONTRACT: ABANDONMENT OF WORK MOHD NUR IMAN AL HAFIZ BIN MOHD JAMIL

SPEECH BY COMRADE ASYIFAH RASHID MARSILING BRANCH PEOPLE S ACTION PARTY CONVENTION NOVEMBER 2017 SINGAPORE S PLACE IN THE WORLD

SKRIPSI DEIXIS USED IN ENGLISH TRANSLATION OF SURAH YUSUF

Latihan MyMesyuarat -PENGERUSI- DibentangkanOleh

FLOW IN A PIPELINE WITH LEAKAGE SITI NUR HASEELA BINTI IZANI

The Malay Narrative Story Writing in the 1920S

PROCEEDING 2ND INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAMIC EDUCATION AND LAW (2ND ICIEL)

Manual Pengguna. Disediakan Untuk : Audit Korporat

HAK MILIK PmAT mrenajlr.mi mm.u. sum Jl. ! l1hat Sebelah. 'Pe l) tesis

EKOLOGI, HABITAT MANUSIA DAN PERUBAHAN PERSEKITARAN

KEMAJUAN MALAYSIA. Abstrak

MTE3133: Penyelidikan Tindakan

Keluarga Bergerak ke Hadapan: Bagaimana ahli profesional boleh menyokong keluarga

Key Words: Lexical materials - Malay Dictionaries - Evaluation - Dictionary Progress - Influence of Dictionaries

MOSAICKING OF TORN IMAGE USING GRAPH ALGORITHM AND COLOR PIXEL MATCHING IBRAHIM THORIG

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA

MANAGEMENT OF VARIATION ORDER IN PUBLIC WORKS DEPARTMENT MALAYSIA CONSTRUCTION PROJECT SHARIL AMRAN BIN AMIR MOHAMED

A ROBUST ESTIMATION METHOD OF LOCATION AND SCALE WITH APPLICATION IN MONITORING PROCESS VARIABILITY ROHAYU BT MOHD SALLEH

The Goal of Islamic Based Broadcasting Philosophy

HALATUJU PENDIDIKAN ISLAM JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR. Disediakan Oleh; Muhamad Asmadi bin Mustakim Ketua Sektor Pengurusan Akademik

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA EAST-WEST DIALOGUE ON JALALUDDIN RUMI AND RALPH WALDO EMERSON IN RELATION TO MYSTICISM HOSSEINALI LIVANI

DASAR DAN PELAKSANAAN IHES BAHAGIAN PENDIDIKAN ISLAM JAIS. Disampaikan Oleh; Tn. Anas Bin Ayob Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam JAIS

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA

MANUAL PENGGUNA PENERIMAAN BARANG(ASET/INVENTORI) MELALUI NOTA TERIMAAN BARANG (GRN) MENGGUNAKAN APLIKASI:-

Jurnal Hadhari Special Edition (2012) 1-6 MASHITOH YAACOB * Centre for General Studies, Universiti Kebangsaan Malaysia ABSTRACT

Amar Makruf Nahi Mungkar

CURRICULUM VITAE. Akmar Hayati Ahmad Ghazali. Name of School / Institution obtained

KEY PERFORMANCE INDICATOR (KPI) YEAR 2009

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA EFFECTS OF HIJAB AS ISLAMIC RELIGIOUS SYMBOL ON MUSLIM CONSUMER ATTITUDES TOWARDS ADVERTISEMENTS

UNIVERSITI PERUBATAN ANTARABANGSA INTERNATIONAL MEDICAL UNIVERSITY MALAYSIA

PEMBANGUNAN APLIKASI CEPAT MEMBACA AL-QURAN UNTUK PLATFORM ANDROID (Mai IQra) YANTI MUNIRAH BINTI JUSOH

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN AKIDAH DI PONDOK PASIR TUMBOH, KELANTAN TEACHING AND LEARNING OF AKIDAH IN PONDOK PASIR TUMBOH, KELANTAN

AUDIT SYARIAH: TEORI DAN PELAKSANAAN. Azizi Che Seman Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

THE POLITICAL PLAYS OF ARTHUR MILLER AND KEE THUAN CHYE: RESISTING THE HEGEMONIC STATE DAVID TNEH CHENG ENG

MATROID STRUCTURE OF DYNAMIC GRAPH MODEL OF EVAPORATION PROCESS IN A BOILER SYSTEM NUR SYAHIDAH BINTI KHAMIS UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

THE EFFECTS OF INFLUENTIAL BEHAVIOURAL FACTORS ON INVESTORS DECISION MAKING IN STOCK MARKET OF PAKISTAN MISBAH SADIQ

PEMBANGUNAN LAMANWEB BAGI SUBJEK BAHASA PENGATURCARAAN I C++ BERDASARKAN STRATEGI PEMBELAJARAN BERASASKAN SITUASI

MINI KOLOKIUM KUIS BS SEPT SELASA WAN RAMIZAH BINTI HASAN ( 13PI01008P )

Laman Web Komuniti PANDUAN ADMINISTRATOR 5R STRATEGIC CONSULTANCY SDN BHD. Version History

UDT1012 / UDT1022 TITAS 1 / TITAS PERANAN AGAMA DALAM PEMBENTUKAN DAN PERKEMBANGAN TAMADUN

A NOVEL MAGNETORHEOLOGICAL VALVE WITH MEANDERING FLOW PATH STRUCTURE FITRIAN IMADUDDIN UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

THE EFFECTS OF RISK MANAGEMENT PRACTICES, RISK BEHAVIOUR ON RESEARCH AND DEVELOPMENT PROJECT PERFORMANCE IN UTM NOR ALIAA BINTI ZAINAL ABIDIN

UNDANG-UNDANG MALAYSIA. Akta 369 AKTA HARI KELEPASAN (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Hari Kelepasan 1951.

KEPERLUAN MODUL BAHASA ARAB UNTUK TUJUAN HAJI DAN UMRAH: SATU ANALISIS KAJIAN

Bab 2. Polisi e-pembelajaran di IPT Malaysia. Hanafi Atan Mohamed Amin Embi Supyan Hussin. Pengenalan

JAWAB LISAN DATO' SRI HASAN BIN MALEK [KUALA PILAH]

Pensyarah: Ustazah Nek Mah Bte Batri Master in Islamic Studies Calon PhD- Fiqh Sains & Teknologi Calon PhD -Pendidikan Agama Islam

ASSOCIATE EDITORS. Department of Al-Quran & Al-Hadith Academy of Islamic Studies University of Malaya Kuala Lumpur Malaysia

A Review on Bequest Writing in The Management of Property in Malaysia

Bachelor of Medicine & Bachelor of Surgery Bachelor of Dental Surgery Bachelor of Chinese Medicine. Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS)

UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

UNIVERSITY OF NORTH SUMATERA FACULTY OF CULTURE STUDIES DIPLOMA III ENGLISH STUDY PROGRAM MEDAN JUNE 2011

UTILITY CONSUMPTION PATTERN AMONG MALAYSIAN ELECTRICITY USERS NURHIDAYAH BT MAHUSIN UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

BAB PERTAMA PENDAHULUAN

SEISMIC AND PROGRESSIVE COLLAPSE ASSESSMENT OF NEW PROPOSED STEEL CONNECTION IMAN FARIDMEHR

ANALISIS FUNGSI MESEJ DAKWAH ISLAMIAH DALAM HALAMAN FACEBOOK

ABSTRACT. Despite the fact that Islam and Judaism are both monotheistic religions, they embrace

Takrifan Etika ethos

KNOWLEDGE INTEGRATION MECHANISM AS MEDIATOR BETWEEN LEAD ERSHIP STYLES AND ENTERPRISE SYSTEMS SUCCESS RAZATULSHIMA BINTI GHAZALI

Kata kunci: Keadilan, pemimpin, faktor motivasi pekerja, Islam

PERSEPSI MAHASISWA PUSAT ASASI KUIS TERHADAP KEUPAYAAN MEMBACA SURAH AL-FATIHAH

ANALISIS ELEMEN PATUH SYARIAH DALAM FILEM NUR KASIH THE MOVIE (2011) BERDASARKAN TEORI FILEM AR-RISALAH

Arkeologi Islam: Suatu Penilaian Semula

PERANAN WANITA ISLAM DALAM MENYAMPAIKAN MESEJ DAKWAH KEPADA MASYARAKAT MENURUT PERSPEKTIF AL-QURAN

Abstract of thesis presented to the Senate of the Universiti Putra Malaysia in fulfillment of the requirement for the degree of Doctor of Philosophy

TEORI MASLOW DAN KAITANNYA DENGAN KEHIDUPAN MUSLIM (Maslow s Theory and its Relation to Muslim s Life)

VISUALISASI MAKLUMAT PENGURUSAN PENCAPAIAN RANGSANGAN KOGNITIF KANAK-KANAK LAMBAT BERTUTUR

[Perakaunan Islam] AGE464 - lslamic Accounting. [Sila pastikan bahawa kertas peperiksaan ini mengandungi LIMA muka surat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera

Transcription:

Seni Drama Islamik: Sifat Pengarah dan Proses Kepengarahan WAWARAH SAIDPUDIN Jabatan Bahasa Inggeris & Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor wawarah@kuis.edu.my ABSTRAK Drama televisyen adalah antara medium yang boleh digunakan oleh pengarah untuk menyampaikan dakwah kepada penonton kerana sifatnya yang mampu mencapai skala penonton yang luas dan boleh membentuk pemikiran penonton agar kembali kepada kehidupan yang berlandaskan al-quran dan as-sunnah. Kajian ini bertujuan untuk merungkai sifat-sifat yang perlu ada bagi pengarah yang ingin mengarah drama berbentuk Islamik dan proses kepengarahan drama Islamik tersebut. Kajian ini menggunakan kaedah temubual secara mendalam bersama seorang pengarah prolifik, Mior Hashim Manap dan melalui sumber sekunder iaitu literatur kajian lepas. Hasil kajian mendapati antara sifat pengarah drama Islamik adalah menelusuri tanggungjawab sebagai hamba Allah, pengarah juga sebagai pemimpin, falsafah hidup pengarah yang berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah, sifat peribadi yang menggalas bakat seni yang dimiliki sebagai amanah. Bagi proses kepengarahan drama Islamik hasil kajian menemui perlu adanya penyampaian dakwah yang emmatuhi syariah Islam, keputusan didasari dengan keredhaan Allah, bekerjasama dengan agamawan dan ijtihad dalam kepengarahan. Secara keseluruhannya untuk mencapai matlamat drama Islamik yang menyampaikan dakwah, kaedah tersebut perlu dipastikan dengan cara yang benar iaitu dengan mematuhi syariah Islam. Kata kunci: Drama Islamik, Sifat pengarah Islamik, Penerbitan drama, Proses kepengarahan, Jiwa pengarah PENGENALAN Drama adalah salah satu bentuk hiburan kepada masyarakat dalam berkongsi realiti dan fantasi antara kandungan drama dan kehidupan sebenar manusia. Secara tidak langsung, ia memberikan pengaruh yang besar dalam pengamalan hidup seharian kita (Dusuki Ahmad 2011) sehingga menjadikan setiap bait dialog yang dilontarkan oleh pelakon adalah terjemahan kepada perbualan seharian kita. Selain itu, budaya, pemakaian, prinsip, jalan cerita turut menjadi aspek penting yang mempengaruhi kehidupan harian peminat drama televisyen sama ada positif mahupun negatif. Namun dalam meneliti drama yang disiarkan di kaca televisyen, Rosmawati dan Md. Rozalafri (2011) menjelaskan kemerosotan nilai yang berlaku dalam masyarakat Melayu hari ini telah menghilangkan rasa sensitiviti mengenai isu-isu agama dan moral tanpa timbul rasa bersalah dan malu terhadap agama Islam itu sendiri. Marina Munira et al. (2011) menjelaskan bahawa fitrah naluri manusia yang menyukai perkara baru mendorong ramai penggiat seni menjadikan jalan cerita sebegini sebagai model mempublisiti karya mereka. Zulkiple (2003) juga menambah lagi akhirnya hasil produk yang dikeluarkan oleh media orang Islam tidak ada bezanya dengan produk orang bukan Islam. 88

Atas fenomena ini, muncul drama berkonsepkan Islamik untuk mendidik manusia kembali kepada jalan yang benar dan menyampaikan dakwah untuk kesan positif pada penonton. Hal ini kerana kandungan drama Islamik berorientasikan keindahan Islam, ketauhidan kepada Allah S.W.T, keimanan kepada agama Islam, kehidupan yang berlandaskan al-quran dan as-sunnah dan sebagainya. Untuk berdakwah, kaedahnya itu juga harus menepati hukum hakam Islam dan secara tidak langsung perkara penting yang perlu diperhalusi dalam pembikinan drama yang berbentuk islamik adalah kandungannya perlu mematuhi syariah baik dari segi lakonan, dialog yang dituturkan, mesej yang disampaikan, perwatakan, penampilan pelakon dan sebagainya. Usaha untuk mengimplementasikan dakwah melalui drama ini telah lama menjadi sebahagian daripada kreativiti Muslim berdasarkan sejarah yang tercatat (Siti Rugayah et al. 2012) seperti drama tradisional wayang kulit yang digunakan oleh Muslim Indonesia yang menceritakan tentang Wali Songo (Abdul Rahman 1983). Dusuki Ahmad (2011) menjelaskan lagi, dalam sejarah Islam, karya seni dan sastera seperti syair, prosa, puisi, cerita, epik dan lain-lain digunakan sebagai medium untuk menyampaikan ajaran Islam dalam kalangan masyarakat Arab yang ketika itu amat mengagumi seni dan sastera. Ini merupakan sebahagian gaya hikmah dalam berdakwah kerana mereka tahu memanfaatkan kecenderungan masyarakat ketika itu. Demikian itu, pada ketika ini seharusnya, drama adalah antara cara berhikmah daripada pengarah dan penulis skrip Islam yang ingin meneruskan legasi Rasulullah S.A.W sebagai pendakwah untuk menyampaikan ilmu Islam kepada sasaran penonton drama tersebut. Namun, dalam keterujaan penerbit tempatan menerbitkan drama dan pengarah yang mengarah drama yang bertemakan Islam ini, terdapat beberapa perkara yang sering menjadi isu perdebatan dalam kalangan agamawan dan pengarah drama tersebut (Zulkiple 2012). Terdapat beberapa drama yang memasukkan elemen dakwah Islam dengan menggunakan latar keadaan Islam namun tidak mematuhi syariah Islam yang sebenar dengan menunjukkan beberapa adegan yang mampu mengelirukan penonton dengan menunjukkan babak solat, kemanusiaan, mesej yang baik, doa, tetapi dalam masa yang sama masih ada adegan bersekedudukan, seks bebas, arak, kelab malam dan aurat wanita yang didedahkan dalam karya yang bertemakan Islam tersebut (Rosmawati et al. 2011). Bertitik tolak daripada permasalahan di atas, dapat dilihat terdapat beberapa penggiat drama yang berminat untuk menyampaikan mesej dakwah tetapi kerana perspektif pengarah dalam keadaan yang seadanya seperti pengetahuan agama secara asas (Asiah dan Nur Kareelawati 2011) dan tidak mendalam, menjadikan mesej drama tersebut tidak selari dengan hukum Islam yang sebenar. Matlamat tidak menghalalkan cara dan sekalipun niat pengarah adalah untuk berdakwah, pengarah perlu sedar dasar utama untuk berdakwah haruslah disandarkan dengan kaedah yang baik, benar dan diredhai Allah. Memetik kata Ustaz Kazim Alias di dalam Berita Harian, artikel daripada Muhamad Fairoz (2014): Setiap penghasilan karya tidak boleh melampaui batas atau had ditetapkan oleh agama. Walaupun filem hanyalah rekaan atau cerita, sebenarnya ia hidup di sisi Tuhan. Meskipun babak bagi menggambarkan hubungan antara ibu dengan anak yang dilakonkan oleh pelakon bukan muhrim seperti menyentuh atau mencium ibu, ia adalah realiti di sisi Allah. Selain itu, pengarah juga adalah antara individu penting untuk memastikan hala tuju sesebuah drama yang mengangkat tema Islam itu menepati hukum agama Islam itu sendiri. Merujuk kepada kajian Siti Rugayah (2000) pengarah perlu mendalami syariat Islam terlebih dahulu agar mesej yang disampaikan itu bertepatan dengan kehendak Islam dan untuk mengatasi masalah tersebut, pengarah boleh bekerjasama dengan agamawan sebagai fungsi 89

memberi nasihat dan idea tentang ilmu Islam yang sebenar dan seterusnya menyemak skrip serta memperbetulkan lakonan dan sebutan perkataan yang berkaitan dengan ayat al-quran dan hadis. Melalui permasalahan yang diutarakan dan kenyataan daripada sarjana dapat disimpulkan pengarah adalah individu penting dan pengetahuan pengarah terhadap ilmu agama dan teknikal drama boleh memberikan kesan kepada drama arahannya sama ada menepati hukum Islam atau sebaliknya. Maka kajian ini bertujuan untuk sifat-sifat yang perlu ada bagi seorang pengarah yang ingin mengarah drama berbentuk Islamik dan proses kepengarahan drama Islamik tersebut. DRAMA MELAYU TRADISIONAL DAN MODEN Drama adalah suatu aksi dari sebuah skrip yang dilakonkan di hadapan khalayak ramai atau penonton melalui media persuratan dan elektronik untuk menyampaikan sebuah cerita termasuklah dialog, nyanyian, tarian dan lakonan (Saparman 1982 & Hamzah 1996). Drama yang ditulis itu mempunyai tujuannya, perlu dibangunkan unsur kemanusiaan di dalamnya, mempunyai hubungan yang dekat dengan penonton dan bentuknya dipengaruhi oleh zaman semasa (Mana Sikana 1985). Drama juga berasaskan suatu peristiwa yang diolah daripada keadaan realiti ataupun hanya khayalan penulis semata-mata. Mana Sikana (2006) turut menjelaskan bahawa drama merupakan lanjutan daripada skrip yang telah dihasilkan iaitu terjemahan teks ke pentas, kreativiti pengarahan, sistem lakonan, kostum, rias, cahaya, muzik dan selari dengannya. Drama televisyen terbahagi kepada beberapa bahagian seperti yang dijelaskan oleh Schreibman (2006) antaranya adalah telefilem (penerbitan bajet rendah dan jadual penggambaran yang pendek), drama televisyen bersiri (menggunakan satu kamera dan bersambung secara mingguan), sitkom (situations comedian yang berepisod dan setengah jam penayangan) dan soap operas (penayangan yang lebih dari 30 minit dan dimainkan setiap hari). Hamzah (1996) menjelaskan drama Melayu di peringkat permulaan kewujudannya terkenal dengan istilah wayang kulit dan Mana Sikana (2006) turut menjelaskan bahawa ia merupakan drama tradisional Melayu yang pertama dan tertua yang kemudiannya diikuti dengan permainan Mak Yong yang menggunakan manusia sebagai watak utama. Kedatangan penjajah barat telah merubah dunia drama Melayu dengan wujudnya persembahan bangsawan yang berasal daripada wayang Parsi. Kemudian bertitik tolak daripada perubahan tersebut drama moden di Malaysia mula mengambil tempat dalam masyarakat bermula pada tahun 1970-an dan terus berkembang selari dengan perubahan sosial masyarakat serta (Raja Sabaradin 1998) mencerminkan situasi keadaan pada zaman masyarakat tersebut. Said Halim (1988) menyenaraikan antara proses penerbitan drama televisyen yang diperlukan adalah skrip, watak, babak, kostum, pelakon, lokasi, skrip kamera, rakaman, suntingan, grafik dan dabing. FENOMENA DRAMA ISLAMIK Drama Islamik adalah instrumen dakwah untuk membina insan yang soleh dengan memaparkan mesej penceritaan dari segi nilai yang baik yang tercakup di dalamnya unsurunsur al-bir (kebajikan) dan at-taqwa (Aminudin et al. 2009). Menurut Siti Rugayah et al. (2012) drama dakwah adalah sebuah drama yang bertujuan untuk menyebarkan mesej dakwah mengenai didikan dan nilai Islam yang indah. Apabila tujuannya ingin menyampaikan dakwah ia perlu disampaikan dengan cara yang benar dan mematuhi syariah Islam kerana dakwah bertujuan untuk menyelamatkan manusia daripada kemungkaran. 90

Sebenarnya, unsur-unsur Islam ini sudah bertapak di dalam media Malaysia sejak daripada zaman pengarahan filem P. Ramlee lagi apabila filem Semerah Padi yang mengangkat kehidupan masyarakat Semerah Padi berlandaskan agama Islam yang sebenar dan menyumbang kepada keutuhan dan perkembangan Islam (Rosmawati & Md. Rozalafri 2011). Selain daripada itu, perubahan zaman (Raja Sabaradin 1998) turut memberi pengaruh kepada kandungan drama di Malaysia dengan menjadi agen penghibur, dan pendidik dengan menceritakan tentang kehidupan, budaya, adat, permasalahan, isu-isu setempat rakyat Malaysia secara amnya. Sehubungan itu, kita dapat melihat beberapa kandungan drama yang mempunyai pelbagai genre drama termasuklah drama cinta, hantu, komedi, kebudayaan dan sebagainya. Manakala pada abad ke 20 kini, fenomena karya yang mempunyai unsur Islam dilihat kembali kepada kemuncaknya apabila negara seberang menghasilkan filem Ayat-Ayat Cinta yang diadaptasi daripada novel tersebut dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan di Indonesia dan turut tidak ketinggalan di Malaysia juga. Dalam menyambut fenomena novel Islam di Malaysia yang semakin berkembang, lahirlah beberapa usaha segelintir pengarah drama untuk membawa novel Islam tersebut kepada seni drama (Zahiruddin 2011). Namun, adaptasi novel ke drama atau filem ini juga bukanlah satu fenomena yang baru dan bukan perkara yang mudah kerana untuk mengadaptasinya memerlukan kemahiran pengarah yang lebih berbanding dengan skrip yang asli (Giannetti 2011). DRAMA ISLAMIK PATUH SYARIAH Kepatuhan terhadap syariah bermakna patuh dan taat kepada hukum-hakam Allah S.W.T (Ridwan Nurdin 2013) baik berupa ibadah (solat, zakat, haji dll) atau muamalah yang menggerakkan kehidupan manusia (jual-beli, nikah dll), akhlak,hukum, akidah dan amal (Al- Qaradhawi 2006). Syariah Islam ialah teras pengabdian kepada Allah, dibina di atas akidah yang benar kepada Allah dan juga panduan dalam menentukan langkah hidup seorang Muslimin( Muhammad Ali 2011). Syariah Islam diturunkan oleh Allah melalui Al-Quran (Bowker 2006) yang menyentuh seluruh dimensi kehidupan baik yang terkait dengan kerohanian, intelektual, material (Al-Khatib 2005) untuk memberikan kebaikan dan kemaslahatan kepada manusia di dunia dan akhirat. Tujuan drama Islamik yang mematuhi syariah ini bagi melindungi etika Islam dan adab melalui keseluruhan proses penghasilan drama dari mana-mana pencemaran terhadap tujuan sebenar mesej dakwah tersebut. Allah S.W.T telah menjadikan syariah ini terbina berdasarkan hikmah-hikmah dan justifikasi yang tercapai dek akal manusia dan tidak berbeza oleh kerana perbezaan bangsa dan adat (Jasser Auda 2014). Firman Allah S.W.T: Kesudahannya Kami jadikan Engkau (Wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah syariat itu, dan janganlah Engkau menurut hawa nafsu orang-orang Yang tidak mengetahui (perkara Yang benar). (Al Jaatsiyah, 45:18) Maka, drama Islamik yang mematuhi syariah ini perlu menepati maqasid syariah seperti yang dijelaskan oleh Al- Alim (1991) yang terbahagi kepada lima prinsip iaitu memelihara agama, nyawa, keturunan, akal dan harta. Sebagai contoh sebarang mesej yang memburukkan agama Islam perlu dielakkan di dalam skrip ataupun visual untuk memelihara agama. Manakala, babak seperti berusaha menjaga kesihatan diri, tidak memudaratkan diri dengan perkara yang tidak baik seperti dadah dan lain-lain dapat menepati prinsip memelihara nyawa tersebut. 91

Seterusnya babak seperti zina, menaikkan syahwat dan pergaulan antara ajnabi yang tidak terbatas perlu dielakkan bagi menepati maqasid syariah yang merujuk kepada memelihara keturunan. Bagi memelihara akal, drama boleh menerapkan nilai membaca al- Quran, berzikir, kebesaran Allah seperti keindahan laut, kecanggihan teknologi dan sebagainya agar penonton dihidangkan dengan perkara yang mengingatkan kita kepada kekuasaan Allah dan bukan perkara yang merosakkan atau melalaikan. Akhir sekali memelihara harta sebagai contoh drama boleh menerapkan unsur-unsur tidak membazir dan pandai menguruskan harta berbanding dengan menggunakan wang ke jalan yang tidak diredhai Allah. METODOLOGI KAJIAN Kajian ini menggunakan kaedah analisis data sekunder dari literatur kajian lepas dan turut menggunakan analisis kandungan kualitatif teknik kepengarahan drama Islamik yang disiarkan di TV Al-Hijrah bertajuk Cinta dan Wahyu, Cinta Kun Fayakun dan Warkah Cinta. Video adalah sumber dokumen yang boleh digunakan untuk analisis kandungan kualitatif (Bogdan & Biklen 1998) dan Othman (2012) menjelaskan kini analisis kandungan kualitatif banyak digunakan dalam media komunikasi (surat khabar, filem, televisyen). Analisis kandungan kualitatif juga bersifat sistematik (Merriam 2001) dengan menggunakan tatacara yang sama dan mempunyai objektif yang diperoleh melalui pemecahan kategori yang jelas dan hubungannya dengan konsep-konsep yang lain (Syed Arabi 2002) serta mempunyai sifat untuk boleh direplikasi atau diulang untuk kajian lain (Krippendorff 1981). Hasil daripada analisis kandungan dan temubual mendalam ini akan menjawab persoalan kajian ini bagi menentukan ciri-ciri pengarah drama Islamik dan juga proses kepengarahan drama Islamik. HASIL KAJIAN DAN PERBINCANGAN Ciri-Ciri Pengarah Drama Islamik Hamba Allah Sebelum kita meneruskan penjelasan tentang tanggungjawab seorang pengarah, lebih indah kiranya jika kita mengenali tanggungjawab manusia dan tujuan manusia diwujudkan sebagai hamba Allah supaya kita mampu melihat dasar kehidupan manusia itu dengan lebih indah. Ahmad Kamil et.al (2011) menjelaskan sesungguhnya menjadi manusia yang soleh abid merupakan matlamat dan wawasan utama manusia itu diciptakan dan jiwa kehambaan kepada adalah fitrah yang ada pada setiap insan agar sifat itu dapat diaplikasikan sama ada dalam amalan ibadah ataupun tuntutan kerja Allah (Sidek Baba 2011). Ia dapat dicapai dengan melaksanakan tuntutan untuk berkhidmat kepada agama dan sumber-sumber pemikiran Islam. Selain itu, segala yang dilakukan oleh individu dalam kehidupan ini adalah bertujuan mencari redha Allah dan bukan redha manusia (Muhammad Ali 2011) dan setiap perkara yang dilakukan diniatkan hanya kepada Allah (Saiyyid 2002). Osman Chuah (2002:56) menjelaskan: Sebagai khalifah, manusia perlu hidup dengan cara yang sistematik mengikut kehendak Allah. Manusia perlu hidup sebagai hamba Allah. Terdapat dua tugas yang penting untuk hamba Allah iaitu istiqamah menyembah Allah sepanjang hidupnya dan hidup bersama manusia lain dengan cara yang aman dan harmoni. 92

Setiap Muslim beriman dengan ketauhidan Allah, kepada al-quran yang diwahyukan, kepada Rasulullah S.A.W. kepada segala nilai dan akhlak yang terkandung dalam ajaran Islam sama ada peringkat individu mahupun keluarga dan masyarakat (Dusuki Ahmad 2011). Sebelum manusia dilahirkan, Allah S.W.T telah mentaklifkan kepada manusia satu amanah iaitu perjanjian yang telah terbentuk sejak azali supaya manusia beriman dan beribadat hanya kepada Allah S.W.T (Mohd Zaliridzal 2012). Ini juga berdasarkan kepada aspek rohani dan kesedaran manusia melalui hubungan manusia sebagai makhluk dengan Allah sebagai Pencipta (an-nabhani 2011). Akidah hamba Allah juga hanya berpaksikan terhadap kepercayaan dan keyakinan yang mantap dengan terhadap rukun iman yang enam iaitu beriman kepada Allah dan para Malaikat-Nya, kitabkitab-nya,para rasul-nya,hari akhirat dan beriman dengan qadar-nya yang baik dan buruk (Mohd Fauzi & Khairul Naim 2012). Pengarah Sebagai Pemimpin Dengan melihat tujuan manusia diwujudkan kita dapat mengaitkan ia dengan amanah yang dipikul dan dipertanggungjawabkan kepada manusia. Berbalik kepada tanggungjawab seorang pengarah, dalam sesebuah pembikinan drama atau filem, pengarah juga merupakan seorang manusia dan kerjaya pengarah itu menjadikan dia untuk mempunyai kuasa yang paling tinggi dan mempunyai hak yang jitu untuk menentukan hala tuju sesebuah hasil karyanya (Sarris 2004). Pengarah adalah seorang yang mempunyai kuasa dalam memimpin tingkah laku krew dan pembuat keputusan utama ketika penggambaran berjalan (Mamer 2003). Selain itu, pengarah juga bertanggungjawab menyelesaikan masalah, berkeyakinan, positif, pantas dan bukan sahaja mengenali pelakon tetapi harus menghargai setiap krew yang ada di dalam produksi (Dmytryk 1984). Pengarah juga bekerja dari imaginasi mereka dan mengekspresikan melalui pergerakan kamera dan syot-syot tertentu dan juga watak yang dimainkan oleh pelakon dan kepelbagaian itu memberikan pilihan kepada penonton melihat dunia dengan cara yang berbeza (Shcreibman 2006). Kolker (2002) menjelaskan bahawa pengarah selalunya akan menulis atau menulis semula skrip dan memberi panduan dalam proses penyuntingan. Menurut Giannetti (2011) pengarah juga mempunyai kawalan sepenuhnya untuk menentukan elemen visual yang dikehendaki termasuklah pemilihan syot, kesan cahaya, komposisi dalam frame, pergerakan kamera, busana dan juga reka bentuk set penggambaran yang menyampaikan makna tertentu. Manakala dalam perspektif Islam konsep kuasa adalah jauh berbeza dengan pandangan sarjana Barat. Hal ini kerana sumber kuasa yang hakiki hanyalah daripada Allah yang Maha Berkuasa. Kuasa yang dimiliki oleh para pemimpin ini hanyalah satu pinjaman sementara daripada Allah S.W.T (Muhammad Yusuf & Khatijah 2012) bersesuaian dengan fitrah manusia yang lemah dan memerlukan Maha Pencipta untuk mengatur segala-galanya (an-nabhani 2011). Suhailiza et al. (2012) turut menjelaskan bahawa setiap pemimpin merupakan hamba kepada Allah S.W.T. kerana manusia yang diciptakan itu pada hakikatnya adalah hamba kepada yang menciptanya. Perkara ini amat penting dihayati dan difahami oleh pengarah drama Islamik bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan tidak melaksanakan tugas sebagai pengarah mengikut syariah Islam. Seorang pengarah juga merupakan khalifah Allah dan perlu bergerak melaksanakan amanat Allah menyeru manusia ke jalan yang benar dan menjauhi larangan Allah iaitu amar ma ruf dan nahi munkar (Nabilah Lubis 2001). Asiah Sarji (2009) juga menjelaskan bahawa pengarah adalah individu yang bertanggungjawab penuh dan berkuasa untuk membuat keputusan bagi menterjemahkan skrip yang diterima kepada visual sama ada mempunyai nilai agama Islam yang benar ataupun berkreativiti melalui seni estetika yang berbeza daripada apa yang disarankan dalam agama Islam. 93

Falsafah Hidup Pengarah Pengarah mempersembahkan karya melalui falsafah hidupnya seperti yang dijelaskan oleh Schreibman (2006) iaitu pengarah adalah seseorang yang bekerja melalui firasat dan niatnya, iaitu kehendak dari suara dalamannya yang ingin disampaikan melalui karyanya tetapi faktor luaran seperti belanjawan produksi, penerbit, stesen, kekangan masa boleh memberi kesan kepada keputusan dipilih dan kadang-kadang pengarah juga perlu berani mengambil risiko. Falsafah dalam Islam bermaksud usaha pemikiran yang tuntas di mana ianya merupakan kurniaan Allah S.W.T yang terbesar untuk mencapai hikmah dan bermatlamatkan kebenaran (Zulkiple 2009). Individu yang mempunyai kefahaman dengan membentuk pola fikir melalui neraca al-quran dan as-sunnah ini merupakan agen penting dalam masyarakat (Abdul Razak dan Ezry Fahmi 2011) dan falsafah ini hadir daripada kesedaran individu yang memikirkan bekal amalannya yang akan dibawa ke masa depannya iaitu kehidupan sesudah mati dengan menyeimbangkan urusan dunia dan akhirat (Roslin 1998). Tanpa adanya acuan pola fikir Islamik dalam pemikiran dan prinsip seseorang pengarah itu, maka tidak mustahil drama arahannya juga mampu mengakibatkan pengaruh yang negatif kepada penonton kerana tiada garis panduan yang mengikut syariah Islam sebenar. Pengarah yang ingin berdakwah perlu bersifat berani dan tidak takut dengan hinaan atau celaan orang tetapi hanya akut kepada Allah dan bersabar dengan segala dugaan yang mendatang (Syeikh Muhammad 2001). Secara tidak langsung falsafah bagi pengarah drama Islamik haruslah berpaksikan kepada keinginan untuk mensejahterakan penontonnya iaitu kehendak dan peranan pengarah adalah untuk mengislamkan dramanya agar dapat membebaskan penonton daripada sifat kejahilan dengan menyebarkan dakwah yang disebarkan melalui dramanya agar menjernihkan kehidupan penonton dan membawa mereka kepada ilmu Islam yang benar (Mohamad Sabri 2009). Sifat Peribadi Pengarah Tanggungjawab seorang pengarah juga tidak dapat lari daripada sifat peribadi yang bersikap amanah terhadap kepengarahan beliau. Amanah dalam perspektif Islam (Mohd Zaliridzal 2012) dilihat sebagai satu bentuk tanggungjawab yang akan diperhitungkan di akhirat kelak. Ini bermakna apa jua yang diarahkan oleh seorang pengarah dalam sesebuah pembikinan drama tersebut akan dihisab dan diadili Allah S.W.T. Berikutan hal ini, kita dapat melihat betapa pentingnya untuk seseorang pengarah menggalas tanggungjawab bakat seni yang dianugerahkan kepadanya mengikut syariah Islam. Ia juga secara tidak langsung menjelaskan seorang pengarah perlu bertanggungjawab kepada isu halal haram dan dosa pahala yang dipaparkan di dalam drama arahannya seperti firman Allah dalam surah al-anfaal ayat 27. Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). Seseorang harus mengerjakan sesuatu pekerjaan yang bersesuaian dengan bakat, sifat peribadi dan tuntutan masyarakat (Al-Ghazali 2001), manakala bagi pengarah, tanggungjawab memikul amanah pekerjaan ini dapat dibina melalui penghayatan konsep ihsan dalam kehidupan ini (Khaliq 2009). Al-Ghazali (2001) menjelaskan lagi ihsan ialah melakukan sesuatu perbuatan dengan meyakini bahawa Allah S.W.T melihat apa yang dilakukan itu dan menimbulkan kesedaran dalaman seseorang ini akan menjadikan dia lebih berhati-hati dalam setiap tindak-tanduknya. Pengarah dapat mengukuhkan sifat Ihsan ini dengan sering mengingati hari pembalasan iaitu hari kiamat dan memantapkan amalan kerohanian yang konsisten seperti membaca dan memahami al-quran, zikrullah, memperbanyakkan solat sunat dan sebagainya 94

(Mohd Zaliridzal 2012). Ia adalah proses muhasabah, mengkritik dan menilai diri kita serta menambahkan keimanan kepada Allah S.W.T. Dusuki Ahmad (2011) mendefinisikan golongan seniman dan karyawan terutama pengarah adalah mereka yang jujur dan ikhlas dengan bidang mereka. Secara tidak langsung, jika keikhlasan berkarya itu dipaksikan atas keimanan kepada Allah yang Maha Esa, pasti hasil karya mereka akan menepati syariah Islam kerana rasa kebertanggungjawaban memikul amanah bakat seni yang dianugerahkan tersebut. Hasil kajian daripada Asiah Sarji dan Kareelawati (2011) mendapati bahawa adanya perasaan bertanggungjawab daripada pengarah untuk memaparkan unsur negatif yang berlaku di sekeliling masyarakat manakala Siti Suriani (2011), menemui bahawa hiburan yang bersifat hedonistik menjadi kecenderungan kepada pengamal media untuk menyiarkannya kepada penonton berbanding hiburan alternatif yang mempunyai elemen positif. Hasil kajian mereka menemui apabila kurangnya kesedaran pengarah untuk menyampaikan hiburan yang bermanfaat, secara tidak langsung boleh meninggalkan kesan negatif yang lebih banyak daripada positif kepada penonton. Manakala kajian yang dilakukan oleh Rosmawati dan Md. Rozalafri (2011) merumuskan pengarah Melayu-Islam harus menghadapi dilema dan cabaran tentang hukum syariah yang jelas dalam filem untuk memilih di antara memartabatkan syariah dan hukum dengan kehendak komersial untuk menyebarkan kefahaman Islam yang sebenar kepada penonton. Hal ini adalah penting untuk mengangkat filem daripada konteks agama yang mempunyai kefahaman yang cukup jelas mengenai jawapan kepada setiap permasalahan hukum dan syariah Islam. Proses Kepengarahan Drama Islamik Mematuhi Syariah Islam Drama Islamik adalah bertujuan untuk menyampaikan dakwah mengenai kebenaran dan keindahan Islam dan mengangkat tema Islam di dalamnya. Maka, untuk menghasilkan satu produk drama Islamik yang berbeza daripada produk-produk luar sana, drama tersebut haruslah mematuhi syariah Islam kerana dakwah itu seharusnya bersifat menyelamatkan manusia daripada perkara yang dimungkari Allah dan bukan menjerumuskan lagi mereka kepada perkara yang mendatangkan kecelakaan dan dosa. Selain itu, kajian ini juga dapat dijadikan sebagai rujukan untuk mengarah drama Islamik iaitu perkara pokok dan utama yang perlu dilakukan oleh pengarah adalah meletakkan niat kerana Allah S.W.T. Selain itu, perlu ada perubahan pola pemikiran kepada pengarah agar jangan takut dengan istilah patuh syariah kerana ia adalah kewajipan yang perlu dipatuhi oleh umat Islam kerana bersandarkan kepada al-quran dan as-sunnah serta bertujuan untuk menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat baik di dalam lakonan atau di luar lakonan. Keputusan Didasari Dengan Keredhaan Allah Pengarah drama Islamik juga perlu memastikan drama arahannya mempunyai unsur dakwah dan mematuhi syariah Islam dan itulah yang membezakan produk drama Islamik tersebut dengan produk drama yang sedia ada di luar sana seperti yang disarankan oleh Zulkiple (2003). Ia boleh dicapai dengan mempercayai bahawa keredaan Allah adalah yang utama dalam menjalani kehidupan ini dan meletakkan hukum agama Islam yang telah ditetapkan oleh Allah sebagai dasar dalam setiap keputusan yang ingin diambil untuk mengarah drama Islamik ini. 95

Bekerjasama Dengan Agamawan Keputusan yang ingin dibuat mengenai hukum hakam juga bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng kerana ia melibatkan dosa dan pahala, penilaian di akhirat nanti. Maka, pengarah perlu bekerjasama dengan ahli agamawan untuk memastikan produk drama mereka menyampaikan kebenaran Islam dengan benar dan bukan mendustakan kebenaran Islam. Sikap terbuka daripada pengarah drama Islamik yang menyedari tentang kekurangan diri dan juga sikap terbuka pendakwah yang menggunakan drama sebagai medium dakwah adalah perkara yang perlu diraikan kerana tugas dakwah itu adalah tanggungjawab semua umat Islam. Ijtihad Dalam Kepengarahan Selain itu, pengarah drama Islamik juga harus kuat dalam menghadapi cabaran daripada masyarakat dan institusi yang cuba untuk menjatuhkan ijtihad Islam kerana kebiasaan mereka dengan ideologi Barat. Andaian seperti populariti, kecantikan, paras rupa untuk menarik penonton menonton drama tidak akan berubah, selagi mana, pengarah sendiri tidak merubah pemikiran mereka sendiri kerana yang paling penting adalah keindahan Islam dan dakwah terhadap agama Islam yang menjadi perkara utama dalam setiap penyampaian drama Islamik itu. Apabila pengarah sendiri berani keluar daripada kotak pemikiran yang inginkan keuntungan duniawi semata-mata, secara tidak langsung pengarah pun dapat membantu industri seni ini untuk berhijrah ke arah yang diredhai Allah. Sebenarnya untuk kajian ini bukan sahaja bertujuan untuk menarik pengarah drama Islamik tetapi juga bertujuan untuk menarik perhatian pengarah yang beragama Islam agar bersama-sama melakukan satu perubahan agar industri seni Malaysia bukan sahaja mempunyai kelainan tetapi mendapat keredaan Allah. KESIMPULAN Kesimpulannya, kajian mendapati untuk menghasilkan drama Islamik, perlu adanya penyampaian dakwah, dan untuk mencapai matlamat dakwah, kaedah tersebut perlu dipastikan dengan cara yang benar iaitu dengan mematuhi syariah Islam. Secara tidak langsung, pengarah juga adalah individu yang paling penting untuk membentuk dan menentukan hala tuju drama Islamik arahannya. Sehubungan dengan itu pengarah memerlukan pola fikir yang Islamik dan perlu meletakkan niat utamanya adalah kerana Allah S.W.T. kerana secara tidak langsung drama yang dihasilkan dan dipersembahkan dalam layar televisyen itu sebenarnya mewakili gambaran kepada pemikiran dan peribadi seseorang pengarah tersebut. Secara keseluruhannya, cadangan kepada seluruh pengamal media bermula dari stesen, penerbit, pengarah, krew drama dan setara dengannya, mulakanlah langkah untuk bersama-sama kembali kepada cara hidup Islam yang sebenar iaitu yang berpandukan kepada al-quran dan as-sunnah. Syariah yang ditetapkan Allah tidak lain hanyalah bertujuan untuk menjaga kemaslahatan dan kesejahteraan kita sebagai, hamba-nya dan ia mencakupi semua realiti kehidupan baik dalam drama mahupun luar drama kerana apa sahaja perlakuan dan arahan kita di dunia ini akan ditimbang untuk dinilai bagi menentukan kedudukan kita di alam yang kekal nanti. 96

Rujukan Al-Quran Al-Qaradhawi, Yusuf. 2006. Fiqih Maqasid Syariah : Moderasi Islam antara Aliran Tekstual dan Aliran Liberal. Terj. H. Arif Munandar Riswanto. Jakarta:Pustaka Al-Kautsar. Al Khatib, Abdul Karim. 2005. Ijtihad:Menggerakkan Potensi dinamik Hukum Islam. Terj. Ach. Maimun Syamsuddin & Abdul Wahid Hasan. Jakarta:Gaya Media Pratama. Abdul Rahman Napiah. 1983. Esei dan Kritikan Drama. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Abdul Razak Abd Muthalib & Ezry Fahmi Eddy Yusof. 2011. Penerimaan dan penyampaian maklumat media dari perspektif Islam. Dlm. Muhamad Zaki Mustafa, Ainurliza Mat Rahim, Zainol Abidin Ahmad & Noor Adzrah Ramle (pnyt). Representasi Islam Dalam Media, hlm.27-41. Nilai : Universiti Sains Islam Malaysia Ahmad Kamil Jamilin, Mohd Fauzi Mohd Amin, Mohd Shamsul Hakim. 2011. Matlamat dan prinsip media Islam. Dlm. Muhamad Zaki Mustafa, Ainurliza Mat Rahim, Zainol Abidin Ahmad & Noor Adzrah Ramle (pnyt). Representasi Islam Dalam Media, hlm.13-26. Nilai : Universiti Sains Islam Malaysia Al- Alim, Yusuf Hamid. 1991. Al-Maqasid Al- Ammah Li Al-Syari ah Al-Islamiyyah. Pensyariatan syariah Islamiah untuk menjaga kemaslahatan umum. Virginia USA: International Institute of Islamic Thought. Al-Ghazali, Muhammad. 2001.Selalu melibatkan Allah. Terj. Abad Badruzzaman. Jakarta: PT Serambi Ilmu Semesta. Aminudin Basir @ Ahmad, Mohamad Sabri Haron & Nik Yusri Musa 2009. Kebebasan media komunikasi menurut perspektif Islam. Jurnal Hadhari, 1(2): 65-82. An-.Nabhani,Taqiyuddin. 2011. Peraturan Hidup dalam Islam. Terj. Abu Amin. Jakarta:Hizbut Tahrir Indonesia. Asiah Sarji & Nur Kareelawati Abd. Karim. 2011. Kajian filem arahan pengarah muda sebagai saluran dakwah di Malaysia. Dlm. Muhamad Zaki Mustafa, Ainurliza Mat Rahim, Zainol Abidin Ahmad & Noor Adzrah Ramle(pnyt). Representasi Islam Dalam Media, hlm. 175-194. Nilai : Universiti Sains Islam Malaysia Asiah Sarji. 2009. Pembangunan Industri Perfileman Malaysia dalam Konteks Islam Hadhari. Dlm. Mohd Safar Hashim&Zulkiple Abd Ghani. Komunikasi Di Malaysia : Satu Penelitian Awal Pendekatan Islam Hadhari. Bangi: Institut Islam Hadhari. Bogdan, R.C. & Biklen, S.K. 1998. Qualitative Research for Education : An Introduction to Theory and Methods. Boston :Allyn &Bacon. Bowker,J. 2006. What Muslims Believe. Oxford:One World Dmytryk, E. 1984. On Screen Editing. Boston: Focal Press. Dusuki Ahmad. 2011. Menerapkan nilai agama dan keprihatinan umat dalam filem dan drama. Dlm. Nor Hartini Saari (pnyt). Pemerkasaan Televisyen dalam Mendidik Masyarakat, hlm. 69-80. Kuala Lumpur : IKIM Giannetti, L. 2011. Understanding Movies. United States: Pearson Education. Hamzah Ismail. 1996. Sandiwara sebagai genre drama moden Malaysia. Tesis Sarjana Sastera Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan. Universiti Kebangsaan Malaysia. Jasser Auda. 2014. Mudahnya Maqasid Syariah. Terj. Marwan Bukhari. PTS Islamika Sdn Bhd: Batu Caves. Khaliq Ahmad. 2009. Management From an Islamic Pespective. Petaling Jaya: Prentice Hall Kolker, R. 2002. Film, Form and Culture. New York: Mc Graw Hill. Krippendorff, K.1981. Content Analysis:An Introduction to its Methodology. United States: Sage Publications. Mamer, B.2003. Film Production Technique. United Kingdom: Thompson 97

Mana Sikana. 1985. Mendekati Drama. Subang Jaya: Penerbitan Sarjana(M) Sdn Bhd. Mana Sikana. 2006. Drama Melayu Tradisional, Moden dan Pasca Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Marina Munira Mutalib, Suhailiza Md. Hamdani, Khatijah Othman & Roslizawati Mohd Ramli. 2011. Tugas dan tanggungjawab media dalam pembangunan insan. Dlm. Muhamad Zaki Mustafa, Ainurliza Mat Rahim, Zainol Abidin Ahmad & Noor Adzrah Ramle(pnyt). Representasi Islam Dalam Media, hlm.41-52. Nilai : Universiti Sains Islam Malaysia Merriam, S.B. 2001. Qualitative Research and Case Study Application in Education. San Francisco:Jossey-Bass Pub Mohd Fauzi Hamat & Khairul Naim Che Nordin. 2012. Akidah dan Pembangunan Modal Insan. Kuala Lumpur:Universiti Malaya. Mohamad Sabri Haron. 2009. Konsep dan Falsafah Islam dalam Media. Dlm Mohd Safar Hashim dan Zulkiple Abd Ghani (pnyt). Komunikasi Di Malaysia : Satu Penelitian Awal Pendekatan Islam Hadhari. Bangi: Institut Islam Hadhari. Mohd. Zaliridzal Zakaria. 2012. Perbandingan dinamika kelompok dalam kepimpinan. Dlm. Zulkiple Abdd. Ghani, Roslizawati Mohd Ramly, Mohd Rushdan Mohd Jailany, Muhamad Yusuf Khalid (pnyt.). Kepimpinan dan Pengurusan: Dakwah, Media dan Ilmu, hlm.29-46. Nilai: USIM Muhamad Fairoz Azizan. 2014. Murtad berlaku dalam pelbagai cara. Berita Harian, 5 Mei:24-25 Muhammad Ali Hasyimi. 2011. Syakhshiyatul Muslim:Membentuk Peribadi Muslim Ideal Menurut Al-Quran dan As-Sunah. Terj. Gozali J. Sudirjo & Asep Sobari. Jakarta:Al- I thishom. Muhammad Yusuf Khalid & Khadijah Othman. 2012. Kuasa dan amanah dalam teori kepimpinan Islam dan barat. Dlm. Zulkiple Abdd. Ghani, Roslizawati Mohd Ramly, Mohd Rushdan Mohd Jailany, Muhamad Yusuf Khalid (pnyt), hlm.15-28. Kepimpinan dan Pengurusan: Dakwah, Media dan Ilmu. Nilai: USIM Nabilah Lubis. 2001. Naskah, Teks dan Metode Penelitian Filologi. Jakarta: Yayasan Media Alo Indonesia. Osman Chuah Abdullah. 2002. Preaching to the Non-Muslim Chinese in Malaysia. Kuala Lumpur: International Islamic University Malaysia Othman Lebar. 2012. Penyelidikan Kualitatif: Pengenalan kepada Teori dan Metod. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris. Raja Sabaradin Raja Abdullah. 1998. Drama sebagai pengajaran-pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah. Tesis Sarjana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia Ridwan Nurdin.2013. Kesetiaan pekerja muslim; tinjauan konseptual tentang prinsip dan kriteria1. Bengkel Antarabangsa Pembangunan Islam (WAPI) ke 6. Universitas Muhammadiyah Medan (UMSU), Medan 21 27 April Roslin Syamsuri. 1998. Arus Kebangkitan Islam Secara Global. Batu Caves:Pustaka Ilmi. Rosmawati Mohamad Rasit & Md. Rozalafri Johori. 2011. Analisis penerapan dakwah di dalam filem semerah padi. Dlm. Muhamad Zaki Mustafa, Ainurliza Mat Rahim, Zainol Abidin Ahmad & Noor Adzrah Ramle (pnyt). Representasi Islam Dalam Media.hlm.195-206. Nilai : Universiti Sains Islam Malaysia Rosmawati Mohamad Rasit, Mohd Salleh Hassan, Mohd Nizam Osman & Muhamad Sham Shahkat Ali. 2011. Film as a medium of communication for da wah: Analysis of religious elements in selected malay films. Islamiyyat, 33: 67 76. 98

Said Halim Said Nong. 1988. Drama Melayu Televisyen Malaysia: Satu Penilaian Perkembangan dan Peranan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Saiyyid Na imullah.2002. Keajaiban Akidah.Kuala Lumpur: Pustaka Jiwa Sdn Bhd. Saparman Bakri. 1982. Alam Teater. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Sarris, A. 2004. Notes on the Auteur Theory in 1962. Dlm. Simpson, P. Utterson, A. & Shepherdeson,K.J. (pnyt.). hlm. 21-34. Film Theory:Critical Concepts in Media and Cultural Studies. Routledge:London Schreibman,M.A. 2006. The Film Director Prepares. New York: Watson-Guptill. Sidek Baba. 2011. Fitrahkah Kita sebagai Hamba Ciptaan Ilahi. Shah Alam: Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd. Siti Rugayah Hj. Tibek. 2000. Peranan drama dalam dakwah : kajian drama dakwah TV1 dan TV3. Tesis Kedoktoran. Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan. Universiti Malaya. Siti Rugayah Tibek, Jawiah Dakir, Zamri Ariffin, Fariza Md. Sham, Wan Fariza Alyati Wan Zakaria, Abdul Ghafar Don, Razaleigh Muhamat @ Kawangit, Salasiah Hanin Hamjah, Badlihisham Mohd.Nasir, Muhammad Faisal Asha ari, Zainab Ismail, Ideris Endot, Anuar Puteh, A dawiyah Ismail, Mohd Zulkipli Abd Ghani. 2012. The Islamic Value In Malaysian Television Drama On Channel 1. Advances in Natural & Applied Sciences, 6(4) : 552-560. Siti Suriani Othman, Lee Kuok Tiung, Roslizawati Mohd Ramli & Jaziratul Shila Jamal. 2011. Dilema antara islam dan hiburan dalam media. Dlm. Muhamad Zaki Mustafa, Ainurliza Mat Rahim, Zainol Abidin Ahmad & Noor Adzrah Ramle (pnyt). Representasi Islam Dalam Media, hlm.89-110. Nilai : Universiti Sains Islam Malaysia Suhailiza Md. Hamdani, Khatijah Othman, & Jaziratul Shila Jamal. 2012. Aplikasi Konsep amanah dalam kepimpimpinan. Dlm. Zulkiple Abdd. Ghani, Roslizawati Mohd Ramly, Mohd Rushdan Mohd Jailany, Muhamad Yusuf Khalid (pnyt). Kepimpinan dan Pengurusan: Dakwah, Media dan Ilmu. Nilai: USIM Syed Arabi Idid. 2002. Kaedah Penyelidikan Komunikasi dan Sains Sosial. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Syeikh Muhammad Jamil Zeeno.2001. Bimbingan Islam untuk Individu dan Masyarakat. Terj. Muhammad Baihaqi. Kuala Lumpur:Penerbitan Darul Iman Zahiruddin Zabidi. 2011. Fenomena novel cinta berunsur agama. 7 Ogos 2014, http://ww1. utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0807&pub=utusan_malaysia&sec= astera&pg= sa_02.htm. [30 November 2014] Zulkiple Abd. Ghani. 2003. Islam, Komunikasi dan Teknologi Maklumat. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Zulkiple Abd Ghani. 2012. Pengurusan Media dalam Masyarakat Islam. Dlm. Zulkiple Abd. Ghani, Roslizawati Mohd Ramly, Mohd Rushdan Mohd Jailany, Muhamad Yusuf Khalid (pnyt). Kepimpinan dan Pengurusan: Dakwah, Media dan Ilmu, hlm.119-132. Nilai: USIM Zulkiple Abd Ghani. 2009. Dasar komunikasi negara dalam konteks pendekatan Islam Hadhari. Dlm Mohd Safar Hashim dan Zulkiple Abd Ghani. Komunikasi di Malaysia: Satu Penelitian Awal Pendekatan Islam Hadhari, hlm.3-34. Bangi: Institut Islam Hadhari. 99