Pengurusan dan Pentadbiran Islam di Malaysia: Sumbangan Terhadap Pembangunan Politik, Ekonomi dan Sosial Muhammad Syahir Abu Bakar 1 Wan Fariza Wan Alyati Wan Zakaria 2 Kamaruddin Salleh 3 ABSTRAK Pengurusan dan pentadbiran Islam pada masa kini telah dilihat telah banyak menyumbangkan pelbagai kebaikan terhadap negara Malaysia yang bukan sahaja dari aspek rohani dan jasmani, malah juga dari aspek duniawi dan ukhrawi. Untuk itu, kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti sumbangan pengurusan dan pentadbiran Islam terhadap pembangunan Malaysia dari aspek politik, ekonomi dan sosial. Kajian ini bersifat kualitatif yang melibatkan kajian kepustakaan dan menggunakan metodologi analisis kandungan. Hasil kajian mendapati bahawa pengurusan dan pentadbiran Islam sememangnya banyak menyumbangkan pelbagai kebaikan terhadap pembangunan Malaysia terutamanya dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Masyarakat dan pihak kerajaan Malaysia adalah disarankan agar mempergiatkan lagi usaha mereka dalam menerapkan sistem pengurusan dan pentadbiran yang berlandaskan Islam ini agar ia dapat memberikan manfaat dan membimbing masyarakat ke jalan yang benar. Dengan itu, semua pihak perlu berkerjasama bagi menyebarkan dan mengamalkan pengurusan dan pentadbiran Islam di Malaysia ini agar ia dapat memberikan sumbangan yang berguna terhadap individu, masyarakat, organisasi, agama dan negara. Kata Kunci: pengurusan dan pentadbiran Islam, Malaysia, sumbangan, pembangunan. ABSTRACT Management and administration of Islam today have seen many contributed to various benefits to Malaysia not only of spiritual and physical aspects, but also of the world and hereafter. Therefore, this study aimed to identify the contribution of the management and the administration Islam to the development of Malaysia from the aspect political, economic and social. This is a qualitative study which involved literature review and use the content analysis methodology. The study found that the management and administration Islam is absolutely give many contributions to the development of Malaysia in many aspects especially in the political, economic and social. Society and the government are advised to intensify their efforts in implementing the management and administration system based on Islam so that it can benefit and guide people to the right path. Therefore, all parties need to work together to spread and practice of management and administration of Islam in Malaysia is so that it can give a useful contribution to the individual, community, organization, religion and country. Keywords: management and administration of Islam, Malaysia, contribution, development. Pendahuluan 1 Muhammad Syahir Abu Bakar, Siswazah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, syaz1984@yahoo.com.my. 2 Wan Fariza Alyati Wan Zakaria, Pensyarah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, aufaa@ukm.edu.my. 3 Kamaruddin Salleh, Pensyarah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, dins@ukm.edu.my. 313
Pengurusan dan pentadbiran Islam adalah bersifat shumul dan sesuai diamalkan mengikut masa, tempat, suasana dan zaman. Pengurusan dan pentadbiran Islam ialah satu aktiviti perancangan dan pergerakan oleh sesuatu organisasi berhubung dengan segala kaedah, peraturan, tanggungjawab dan tugas dalam sesuatu proses dan pengolahan sumber iaitu termasuk tenaga manusia, benda dan perkara supaya saling bekerjasama dan berfungsi dalam sesebuah organisasi dengan mengambil kira hubungan manusia dengan Allah SWT dan hubungan manusia dengan manusia iaitu melaksanakan tanggungjawab sepenuhnya sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini demi mencapai al-falah serta mendapat mardat Allah SWT. Pengurusan dan pentadbiran Islam ini telah dilihat telah banyak menyumbangkan pelbagai manfaat dan kebaikan terhadap negara Malaysia yang merangkumi aspek rohani dan jasmani, luaran dan dalaman, serta dunia dan akhirat. Perkembangan dan kewujudan pengurusan dan pentadbiran Islam di Malaysia ini bukan satu retorik semata-mata, bahkan adalah satu hakikat yang tidak boleh diubah dan disangkal lagi. Ini kerana berdasarkan sejarah, sejak mula kedatangan Islam dan penerimaan masyarakat tempatan terhadap agama Islam secara meluas di Nusantara amnya dan di Tanah Melayu khasnya pada abad ke-13 Masihi yang mana telah mengubah banyak nilai kehidupan masyarakat tempatan terutamanya dari aspek akidah yang menjadi teras utama atau pemangkin kepada wujudnya pengurusan dan pentadbiran Islam di Malaysia (Malaysia Kita, 2014: 14). Bertitik-tolak dari situ, Islam telah memainkan peranan yang penting merangkumi hampir semua kegiatan hidup termasuk keagamaan, akhlak, keilmuan, budaya, sosial, politik, malah khususnya terhadap pengurusan dan pentadbiran. Berdasarkan konsep dan ajaran Islam yang luas dan menyeluruh inilah menyebabkan sebuah negara Islam iaitu Malaysia berjaya ditubuhkan di rantau ini dengan kemunculan Melaka sebagai pusat pengajian dan penyebaran Islam pada awal abad ke-15 di gugusan Kepulauan Melayu dan turut tersebar di Sabah dan Sarawak (Malaysia Kita, 2014: 13). Dengan itu, berkembanglah pengurusan dan pentadbiran Islam apabila tersebarnya ajaran Islam di seluruh Tanah Melayu. Jika diteliti, perkembangan dan pembangunan Islam di Tanah Melayu ini pada awalnya adalah melalui pendekatan dakwah itu sendiri yang mana dilakukan secara berperingkat dan sederhana. Ia bermula dengan pelbagai transformasi sama ada dari aspek rohani dan jasmani. Dari aspek akidah dan kepercayaan, Islam mengubah pandangan orang Melayu daripada mempercayai dewa-dewa seperti yang mereka anuti di zaman Hindu kepada mempercayai Allah Yang Maha Esa. Setelah itu, dari aspek adat dan istiadat pula, agama Islam telah memimpin masyarakat Melayu ke arah mengenali dan mengamalkan adat istiadat Islam bagi mengubah dan mengganti tradisi animisme dan Hinduisme. Dari segi sosial, Islam menekankan unsur-unsur persamaan, keadilan, perpaduan dan lain-lain sebagai ganti kepada sistem Kasta Hindu yang membahagikan penduduk alam Melayu kepada beberapa susun lapis. Manakala dari segi politik pula, sistem feudalisme Hindu digantikan dengan sistem feudalisme yang diperkenalkan pada zaman kerajaan Abbasiyyah. Islam telah memberi corak keislaman bagi kedudukan raja yang diubah daripada penjelmaan dewa kepada seorang pemerintah rakyat sahaja dan sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi. Di samping itu, dari aspek kesenian pula, kesenian Islam itu telah mempengaruhi semua bidang kesenian Melayu, baik dalam seni tulisan, seni ukir, seni bina, seni hiasan, seni lagu, seni tari dan seni drama serta begitu juga dalam hal kesusasteraan. Selain itu, dalam aspek keilmuan, Islam telah memimpin masyarakat Melayu ke arah mengenali pengetahuan yang bercorak falsafah daripada unsur-unsur 314
estetika yang terdapat dalam masyarakat Hindu dan Islam juga turut mengubah tasawwur orang Melayu daripada yang bercorak mitos dan fantasi kepada pemikiran yang berdasarkan falsafah Islam yang rasional dan ilmiah. Dengan ini, jelas terbukti bahawa faktor utama kepada perkembangan pengurusan dan pentadbiran Islam yang meluas ini adalah kerana agamanya iaitu Islam itu sendiri yang bersifat menyeluruh yang mana mendidik masyarakat di rantau ini untuk menjadi manusia yang bertanggungjawab melaksanakan tugas untuk kehidupan di dunia dan akhirat. Realitinya, Islam itu dilihat telah membawa kedua-kedua aspek iaitu rohani dan jasmani untuk membangunkan masyarakat Malaysia, lalu secara tidak lansung ia juga turut mempengaruhi terhadap pembangunan sistem pengurusan dan pentadbiran Islam di Malaysia itu sendiri. Sumbangan Pengurusan Dan Pentadbiran Islam Terhadap Pembangunan Negara Malaysia Sumbangan pengurusan dan pentadbiran Islam terhadap pembangunan dan kemajuan masyarakat dan negara Malaysia itu tidak ternilai harganya. Ia melibatkan tiga aspek utama iaitu politik, ekonomi dan sosial: 1. Sumbangan dalam Aspek Politik: Sumbangan terpenting pengurusan dan pentadbiran Islam dalam pembangunan politik ialah: a. Pemerintahan dan Pentadbiran Berasaskan Islam Teras Kepada Pembangunan Malaysia Sejak dahulu lagi, negara Malaysia sememangnya berasaskan sistem pengurusan dan pentadbiran yang bercorakkan Islam. Buktinya, ia adalah berdasarkan sistem pemerintahan dan organisasi pentadbiran di Tanah Melayu, pemerintahan pada era Kesultanan Melayu Melaka merupakan pengurusan dan pentadbiran Islam yang pertama di Malaysia dan boleh dikatakan sebagai empayar Islam di Asia Tenggara berdasarkan Hukum Kanun Melaka sebagai teras dan sumber perundangan Islam pertama di Tanah Melayu (Wan Nik & Asma Husna, 2006: 23). Secara umum, sistem organisasi pemerintahan pada era Kesultanan Melayu Melaka pada awalnya adalah bercorak feudal kerana rakyat dibahagikan kepada beberapa lapisan mengikut susun lapis yang tersendiri dalam bentuk piramid serta bagi hierarki golongan pemerintah pula, terdapat dua golongan iaitu golongan pemerintah atau bangsawan dan golongan yang diperintah (Malaysia Kita, 2014: 146-147). Dalam menjelaskan sistem pembesar ini ia dirujuk kepada sistem pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. Kesultanan Melayu Melaka ini merupakan kerajaan Melayu tradisional yang terawal dan juga merupakan pengasas kepada kepada sistem pemerintahan beraja di negara Malaysia kini. Sultan Melaka menduduki tempat paling teratas dan utama dalam organsiasi pemerintahan di Melaka serta menjadi lambang keagungan negeri Melaka. Ini kerana Sultan adalah ketua negara di Melaka dan juga ketua politik, ketua tentera, ketua agama Islam dan pentadbiran. Kesultanan Melayu Melaka mengamalkan sistem Pembesar Empat Lipatan atau Empat Lapis kerana pemerintahan Sultan Melaka dibantu oleh empat orang pembesar iaitu Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung dan Laksamana (Malaysia Kita, 2014: 146-147). Di bawah pembesar berempat, terdapat beberapa lapis lagi golongan pembesar. Antaranya ialah Pembesar Berlapan, Pembesar Enam Belas dan juga Pembesar Tiga Puluh Dua (Malaysia Kita, 2014: 149). Secara 315
keseluruhan, masyarakat Melayu tradisional pada era Kesultanan Melayu Melaka adalah masyarakat yang berkelas-kelas jika dilihat berdasarkan taraf, kedudukan serta kelas seseorang itu dalam masyarakat. Setelah itu, perkembangan organisasi pengurusan dan pentadiran Islam di Malaysia pada zaman kini, ia juga lahir dan terkesan daripada hasil kegemilangan pemerintahan zaman Kesultanan Melayu Melaka apabila ia telah menjadi sebuah Empayar Islam selama hampir 300 tahun, kemudian dijajah selama 640 tahun sebelum mendapat kemerdekaan pada tahun 1957. Ini kerana mana-mana negara Islam yang dijajah kemudian mencapai kemerdekaan, ia kekal sebagai negara Islam walaupun tidak sempurna perlaksanaan Islamnya. Walau apa tafsiran sekali pun, yang pasti Malaysia adalah sebuah negara Islam berdasarkan dengan perlembagaannya iaitu kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan dan agama rasmi. Negara Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen iaitu dibawah pemerintahan Raja Berperlembagaan yang bukan monarki. Ini bermakna jawatan Yang di-pertuan Agong sebagai Ketua Negara digilirkan selama lima tahun dengan sembilan orang raja-raja Melayu yang terdapat di Malaysia (Malaysia Kita, 2014: 166). Jawatan Yang di-pertuan Agong ini telah diwujudkan pada 31 Ogos 1957 dan merupakan jawatan yang istimewa dan tidak ada di mana-mana negara lain di dunia ini. Ini kerana Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mempunyai Ketua Negara yang digilir-gilirkan pemerintahan mereka setiap lima tahun sekali. Yang Di-Pertuan Agong dipilih oleh 9 orang Raja-raja Melayu mengikut kedudukan yang paling kanan berdasarkan tarikh menaiki takhta. Fungsi utama Yang di-pertuan Agong seperti menjadi pemerintah tertinggi Angkatan Tentera, ketua agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak bersultan dan juga negerinya sendiri. Yang di-pertuan Agong mempunyai kuasa memerintah negara dan kuasa ini boleh dijalankan sendiri oleh baginda ataupun kabinet Malaysia (Malaysia Kita, 2014: 155). Manakala Parlimen Persekutuan pula terdiri daripada Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong dan dua dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. b. Kepentingan Sistem Pentadbiran Undang-Undang Islam di Negara Malaysia Bagi Memelihara Akidah dan Hak-Hak Umat Islam di Malaysia Sejarah jelas membuktikan bahawa undang-undang Islam telah mantap dan dilaksanakan dalam pemerintahan Kerajaan Melayu sebelum kedatangan Inggeris iaitu seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Pahang dan Undang-Undang Kedah. Beberapa bahagian kanun tersebut adalah petikan daripada hukum-hukum fiqh dari Mazhab Syafie. Selepas kedatangan Inggeris khususnya dengan penerimaan Sistem Residen, secara beransur-ansur dan sedikit demi sedikit prinsip undang-undang Inggeris dimasukkan ke dalam sistem pentadbiran, perundangan dan kehakiman. Beberapa undang-undang seperti Kanun Keseksaan, Enakmen Keterangan dan Kanun Acara Jenayah telah diperundangkan dan undang-undang Islam dalam bidang berkenaan tidak lagi berkuasa. Ekoran itu, perundangan Islam telah digubal hingga ke hari ini dalam bentuk Enakmen dan Ordinan pada setiap negeri bagi mendapatkan kembali penguatkuasaan undang-undang, namun ia telah meletakkan kedudukan undang-undang Islam sama dengan bahagian undang-undang lain yang perlu diperkanunkan sepertimana yang diperjelaskan dalam Perlembagaan Negara yang didapati dalam Jadual Kesembilan, Senarai II - Senarai Negeri (Perlembagaan dan Undang-Undang Am, 2014: 217-218). Memandangkan agama Islam di Malaysia adalah di bawah bidang kuasa negeri dan Sultan sebagai Ketua Agama Islam iaitu bagi negeri-negeri yang beraja (Perlembagaan dan 316
Undang-Undang Am, 2014: 18), maka berlakunya ketidakseragaman undang-undang Islam antara negeri-negeri dan ia adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Sehubungan itu, usaha-usaha untuk menjalankan undang-undang Islam yang selaras dan seragam di seluruh Malaysia telah bermula sejak sekian lama dan beberapa usaha telah diambil bagi maksud tersebut. JAKIM melalui Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil telah banyak membantu menggubal undang-undang Islam yang disediakan sebagai model untuk diterima pakai oleh negeri-negeri seperti telah melakukan penyelarasan dan penyeragaman undang-undang Islam negeri-negeri dibuat melalui Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan pada 1 Ogos 1997, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke- 176 telah bersetuju atas cadangan tersebut. Ekoran persetujuan itu, JAKIM dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara telah membuat kajian terperinci ke atas enam undangundang utama negeri-negeri iaitu Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam, Undang- Undang Keluarga Islam, Undang-Undang Kesalahan Syariah, Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah, Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah dan Undang-Undang Tatacara Mahkamah Syariah. Kini cadangan rang undang-undang tersebut akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk kelulusan sebelum dikemukakan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja. Ini adalah satu usaha murni dan pendekatan yang bijak atau berhikmah oleh kerajaan iaitu melalui cara rundingan dan perkenan daripada Sultan dan Raja-Raja. Oleh itu, sebagai umat Islam di negara Malaysia ini, mereka seharusnya menyokong usaha dan cita-cita murni kerajaan dalam mengukuhkan Institusi Kehakiman dan Perundangan Islam di negara ini agar berjalan dalam keadaan lancar dan harmoni. Sebagaimana yang telah diakui bahawa kesucian akidah umat Islam di Malaysia terpelihara di bawah Perlembagaan Persekutuan iaitu di bawah Perkara 11 (4) yang melarang sebarang dakyah agama lain kepada umat Islam (Perlembagaan dan Undang- Undang Am, 2014: 24). Menyedari bahawa banyak faktor-faktor lain yang boleh menggugat kesucian akidah orang-orang Islam maka kerajaan telah menyusun pelbagai program yang berupa penjelasan, penerangan, kursus dan perbincangan khusus berkenaan perkara-perkara yang dapat memantapkan iman dan menguatkan keyakinan umat Islam. Mereka yang baru memeluk Islam diberi kursus-kursus kefahaman dan penghayatan secara bersiri dan berjadual. Selain itu, JAKIM juga telah mewujudkan satu Unit Khas berkenaan ajaran sesat bagi menangani gejala penyelewengan akidah menerusi ajaran-ajaran salah dan sesat. Penubuhan Panel Kajian Akidah di JAKIM yang dianggotai oleh pakar akademik dan tokoh Islam banyak membantu JAKIM menangani masalah ini. Jabatan atau Majlis Agama Islam Negeri-Negeri juga mewajibkan kepada mana-mana individu yang ingin mengajar atau berceramah berkenaan agama Islam mendapatkan Sijil Tauliah Mengajar Agama dari pihak Jabatan atau Majlis bagi mengawal sebarang anasir-anasir atau pengaruh ajaran sesat daripada merebak. Mengajar agama tanpa tauliah adalah satu kesalahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah. Dalam pada itu, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak pernah teragak-agak mengeluarkan fatwa tentang penyelewengan satu-satu ajaran sesat sebaik sahaja dikenalpasti. Sehingga kini, JAKIM sentiasa menganjurkan kursus-kursus pemurnian akidah kepada bekas-bekas kumpulan ajaran sesat bagi tujuan memulihkan mereka kembali ke ajaran Islam yang sebenar. Pada masa yang sama juga, JAKIM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) selama ini telah bekerjasama dalam menapis dan mengharamkan buku-buku yang mengandungi unsur-unsur penghinaan dan penyelewengan akidah umat Islam. Kini JAKIM sedang menyiapkan peringkat akhir draf Undang-Undang Pemulihan Akidah iaitu undang-undang khusus bagi membendung masalah pertukaran agama di kalangan masyarakat Islam. Boleh dikatakan di sini bahawa kerajaan Malaysia dilihat masih mengambil berat dan tidak bersikap sambil lewa dalam 317
hal-hal yang berkaitan dengan akidah umat Islam agar ia terus terpelihara di bumi Malaysia. Agama Islam merupakan teras dan tunjang utama dalam membangunkan pengurusan dan pentadbiran Islam di Malaysia. Berdasarkan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang telah memperuntukkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Ini menunjukkan bahawa perlembagaan negara telah menerima Islam sebagai agama rasmi negara dan sebagai al-din iaitu satu cara hidup dalam mengamalkan ajarannya (Perlembagaan dan Undang-Undang Am, 2014: 18). Manakala penganut agama lain bebas mengamalkan agama mereka selama mana mereka tidak menggugat dan meracuni akidah umat Islam di negara ini sepertimana dalam Perkara 11 (1), Perlembagaan telah memperuntukkan bahawa, Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, serta tertakluk kepada Fasal (4) untuk mengembangkan agamanya (Perlembagaan dan Undang-Undang Am, 2014: 24). Selain itu, dalam Perkara 11 (4) iaitu telah menjamin dan memelihara akidah umat Islam daripada digugat oleh dakyah-dakyah agama lain di mana ia menyebutkan bahawa undang-undang boleh dibuat untuk mengawal atau menyekat pengembangan sebarang kepercayaan agama lain terhadap orang-orang Islam (Perlembagaan dan Undang-Undang Am, 2014: 24). Oleh itu, Islam dilihat mendapat kedudukan yang penting dan tempat tertinggi di negara ini dengan menjadi sebagai agama Persekutuan serta akidah umat Islam bukan sahaja dipelihara malah dijamin di bawah perlembagaan dan undang-undang dari terjebak kepada dakyah agama-agama lain. Hakikat paling penting yang perlu diketahui ialah Islam itu adalah sebagai agama rasmi bagi negara Malaysia dan juga sebagai al-din iaitu budaya dan cara hidup yang tersendiri yang juga telah membezakan Islam daripada agama lain terutama daripada segi ideologi dan fahamannya. Di sini, salah satu aspek kehidupan yang terdapat dalam Islam ialah pengurusan dan pentadbiran organisasi dalam sistem Islam yang tersendiri yang mana melibatkan hal ehwal pengurusan individu, pengurusan pekerja dan pengurusan pelbagai sumber yang terdapat dalam sesebuah organisasi. Oleh itu, bagi seseorang yang beragama Islam, tidak kira sama ada pengurus atau pekerja wajib mempraktikkan cara hidup yang shumul yang telah diberikan sebagai panduan melalui al-quran dan Sunnah Rasulullah SAW tanpa mengetepikan atau membuangnya daripada urusan pentadbiran sesebuah organisasi mahupun kehidupan. Keampuhan negara Malaysia itu lebih terserlah apabila ia berjaya dalam mengurus dan menerapkan ajaran Islam dalam kehidupan di samping memajukan serta memperbaiki taraf hidup rakyatnya yang beragama Islam dan bukan Islam tanpa menindas mana-mana kaum atau golongan di negara ini. c. Penubuhan Organisasi Pentadbiran dan Jabatan di Malaysia Bagi Menguruskan Segala Hal Ehwal Islam Secara umumnya, organisasi dan sistem pentadbiran Islam pada masa kini juga sedikit sebanyak merupakan kesinambungan daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka yang mana telah berkembang pesat lalu agama Islam telah dijadikan agama rasmi negara Malaysia walaupun penduduk di negara Malaysia ini terdiri daripada berbilang bangsa dan agama. Sehubungan itu, kerajaan Malaysia telah menubuhkan pelbagai organisasi pentadbiran dan jabatan bagi menguruskan segala hal ehwal yang melibatkan agama Islam dan umat Islam itu sendiri. Contohnya, pada masa kini terdapat beberapa agensi kerajaan 318
terlibat secara langsung dalam menguruskan hal ehwal agama Islam dan menjaga martabat agama Islam di negara Malaysia sama ada secara lansung atau tidak lansung seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam, Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Tabung Haji, Pusat Zakat dan sebagainya. Sistem pengurusan dan pentadbiran Islam dilihat telah berjalan dan dilaksanakan dengan baik bagi memajukan umat Islam dan negara ini, di samping tidak memudaratkan golongan yang bukan Islam. Peranan badan pengurusan dan pentadbiran Islam yang paling besar dan utama di Malaysia ini ialah JAKIM kerana ia diberi mandat oleh kerajaan untuk menjadi urusetia kepada badan-badan penyelaras membuat dasar mengenai hal ehwal agama Islam peringkat kebangsaan yang ditubuhkan kemudian, antaranya Jawatankuasa Kemajuan Hal Ehwal Islam, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Persidangan Pengerusi Hal Ehwal Islam Seluruh Malaysia, Persidangan Ketua Jabatan atau Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia, Badan Perunding Islam dan banyak lagi (Azrin, 2014: 49; JAKIM, 2012: 10-11). Selain itu, peranan yang dimainkan oleh Lembaga Tabung Haji juga antara badan yang paling penting bagi umat Islam di Malaysia ini kerana ia menguruskan kewangan Islam dan menguruskan haji serta umrah. Malaysia merupakan negara pertama di dunia Islam yang mewujudkan sistem pengurusan ibadat haji untuk rakyatnya secara aktif dan sistematik. Selain itu, badan-badan dakwah seperti PERKIM, YADIM, YAPEIM, bahagian dakwah dalam JAKIM dan semua badan dakwah yang lain juga menjalankan peranannya dalam memberi nasihat dan berdakwah bagi menyebarkan dan mengembangkan lagi syiar Islam di Malaysia serta sekaligus mengajak kepada al-amar bi al-ma c ruf wa Nahi c an al- Munkar. Kerajaan dan umat Islam di Malaysia dengan penuh kesungguhan telah menggerakkan seluruh jentera yang ada dalam menjalankan tugas-tugas dakwah dan memastikan risalah Islam ini sampai kepada semua masyarakat Malaysia sama ada yang beragama Islam atau bukan beragama Islam. Pembangunan dan kemajuan Islam di Malaysia amat terserlah memandangkan kebanyakan anggota badan-badan penyelaras dan penggubal dasar mengenai hal ehwal Islam itu terdiri daripada para Mufti, Menteri- Menteri Besar, Pengerusi dan Pengarah Jabatan atau Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, pakar akademik dan para alim ulama serta tokoh-tokoh cendekiawan Islam dari pelbagai disiplin ilmu. 2. Sumbangan dalam Aspek Ekonomi: Manakala, sumbangan utama pengurusan dan pentadbiran Islam dalam pembangunan ekonomi pula ialah: a. Memajukan Institusi Kewangan dan Perbankan Islam Demi Pembangunan Ekonomi yang Diredai oleh Allah SWT Bagi membuka jalan untuk penubuhan bank Islam di Malaysia, kerajaan telah Malaysia telah meluluskan Akta Bank Islam 1983 yang menggariskan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh bank Islam dalam operasinya di Malaysia dan kuasa-kuasa Bank Negara Malaysia dalam menyelia dan mengawal bank Islam. Dalam tahun yang sama juga, kerajaan Malaysia telah meluluskan Akta Pelaburan Kerajaan 1983 yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengeluarkan sijil pelaburan berdasarkan prinsip syariah. Bank 319
Islam pertama beroperasi di Malaysia ialah Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) pada 1 Mac 1983 yang menawarkan perkhidmatan sama seperti bank-bank konvensional cuma ia berdasarkan prinsip-prinsip syariah dan ini diikuti juga dengan penubuhan Bank Muamalat pada 1 Ogos 1999 (Azrin, 2014: 50). Selain itu, BIMB juga mempunyai anak-anak syarikat yang menjalankan operasi berdasarkan prinsip syariah iaitu Syarikat al-ijarah Sdn. Bhd. yang menjalankan pemajakan harta tetap, Syarikat Nominees Sdn. Bhd. yang memberi perkhidmatan nomini dan Syarikat Takaful Malaysia Sdn. Bhd. yang memberi perlindungan insurans am dan insurans keluarga. Di samping itu, penubuhan Lembaga Tabung Haji merupakan antara badan yang paling berpengaruh dan dominan bagi umat Islam di Malaysia. Ia bukan sahaja menjalankan urusan perbankan Islam secara sepenuhnya bahkan juga bertanggungjawab menguruskan hal ehwal jemaah haji dan umrah. Ia juga menjalankan pelaburan secara halal dan mengikut lunas-lunas Islam Selain memberi perkhidmatan berkualiti kepada para tetamu Allah SWT dan menaikkan ekonomi umat Islam, Lembaga Tabung Haji juga memenuhi tuntutan fardu kifayah umat Islam di Malaysia. Sehubungan itu, perkembangan institusi kewangan Islam yang sangat maju dan berdaya saing ini menjadi salah satu penyebab kebanyakan institusi kewangan konvensional pada hari ini turut menawarkan perkhidmatan dan produk berasaskan Islam seperti wujudnya CIMB Islamic Bank, Maybank Islamic, Hong Leong Islamic Bank dan lain-lain. Antara produk berasaskan prinsip Islam yang telah berjaya diwujudkan ialah seperti al-wadi c ah, al-mudarabah, al-musharakah, al-murabahah, al-bay c bi al-thaman c Ajil, al-bay c al-salam, al-ijarah, al-bay c al-ta jiri, al-wakalah, al-rahn, al-qard al- Hassan, al-kafalah dan sebagainya (Azrin, 2014: 51). Kerajaan Malaysia mempunyai objektif jangka panjang dengan mewujudkan sistem perbankan Islam yang setaraf dengan sistem bank konvensional iaitu menerusi usaha gigih daripada Bank Negara Malaysia itu sendiri. Ia boleh dicapai apabila setiap bank di Malaysia mempunyai ahli yang cukup, semua perkhidmatan dan produknya yang berasaskan sistem bank dan perlu mewujudkan pasaran antara bank yang operasinya mengikut prinsip dan landasan syariah. Pada tahun 1994, Bank Negara Malaysia telah melancarkan Skim Perbankan Tanpa Faedah (SPTF) iaitu institusi kewangan yang dibenarkan telah digalakkan untuk menawarkan perkhidmatan berasaskan prinsip syariah serta pasaran wang antara bank secara Islam juga telah dilaksanakan. Tambahan pula, institusi lain yang membantu dalam bidang sosioekonomi juga telah berjaya ditubuhkan seperti Lembaga Tabung Haji pada tahun 1963, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) pada tahun 1976, Persatuan Pengguna Malaysia (PPIM) pada tahun 1997 dan lain-lain. b. Peranan Institusi Hisbah dalam Kegiatan Ekonomi demi Menegakkan Tuntutan al-amar bi al-ma c ruf wa Nahi c an al-munkar Adapun mengenai peranan institusi hisbah dalam kegiatan ekonomi pula, kerajaan Malaysia telah menubuhkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dibantu juga oleh untuk memberikan perlindungan ke atas harta intelek, membanteras penipuan atau penyelewengan barang-barang, melindungi hak-hak pengguna, mengawal bekalan dan harga barangan di samping mewujudkan amalan perniagaan yang beretika terhadap pengguna dan peniaga (Azrin, 2014: 63-64). Bahagian Penguatkuasa KPDNKK telah 320
diperkukuhkan lagi dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasa dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu dari Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta juga Badan Penguatkuasaan dari Majlis Pengawasan Syariah (MPS) khususnya di bank-bank dan badan yang menjalankan perniagaan secara Islam dalam mengangani masalah berkaitan muamalat khususnya mengenai halal dan haram serta riba. Penubuhan Halal JAKIM pula sangat efisien dalam membasmi dan memastikan segala barangan itu adalah halal digunakan oleh umat Islam di Malaysia dan merealisasikan konsep Halalan Tayyiban. Selain itu, fungsi institusi hisbah ialah menggalas tanggungjawab dalam melindungi, menjaga dan memelihara keselamatan serta keamanan masyarakat dan negara bagi menjamin kegiatan ekonomi negara yang stabil dan jauh daripada porak-peranda atau jenayah yang merosakkan terutamanya dalam perkara-perkara yang boleh membahayakan dalam sektor ekonomi. Dengan itu, kerajaan telah menubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berfungsi untuk menjaga keselamatan masyarakat dan membanteras sebarang aktiviti jenayah dan pelbagai salah-laku seperti mencuri dan merompak barang, menipu, perjudiaan, penyeludupan, kongsi gelap dan sebagainya. Bagi Jabatan Imigresen Malaysia pula, ia adalah berfungsi untuk mengeluarkan passport atau dokumen perjalanan kepada warganegara dan penduduk tetap, mengeluarkan visa, pas dan permit kepada warganegara asing, mengawal selia pergerakan orang keluar dan masuk orang dan mengawal aktiviti penyeludupan barang (Azrin, 2014: 58). Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau juga dikenali sebagai Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) ialah satu akta yang matlamat utamanya adalah untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban serta bebas daripada rasuah dalam kalangan pentadbiran sektor awam dan syarikat swasta (Malaysia Kita, 2014: 479). Kerajaan juga turut menubuhkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan iaitu khusus untuk para pegawai penguatkuasa yang perlu diawasi dan dikawal bagi memastikan mereka juga tidak terlibat dengan penyalahgunaan kuasa dan pengkhianatan serta berkomplot dengan pihak tertentu dalam melakukan kemungkaran agar mereka berkhidmat dengan telus, berani dan profesional. Selain itu, fungsi institusi hisbah ini juga untuk menjaga dan mengawal kesucian agama Islam, menasihati dan menginsafkan masyarakat, serta mengelakkan masyarakat daripada melakukan perkara yang dilarang dan diharamkan dalam kegiatan ekonomi atau urusan kewangan. Ia penting bagi mengelakkan masyarakat terjerumus ke dalam kancah dosa dan perkara yang diharamkan oleh agama Islam sama ada akidah, ibadah, akhlak dan sebagainya. Sehubungan itu, kerajaan Malaysia telah menubuhkan beberapa badan penguatkuasaan bagi tujuan tersebut seperti menubuhkan Bahagian Penguatkuasa dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan juga dari Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), dibantu dan disokong juga oleh badanbadan organisasi Islam yang lain seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Majlis Dakwah Negara (MDN), Institut Islam Hadhari dan badan-badan Islam yang lain malah menyebarkan lagi dakwah Islamiyyah. Kesemuanya memainkan peranan dalam menasihati, melindungi, membasmi dan menghukum mereka yang mungkar atau melanggar segala perbuatan yang menyalahi ajaran agama Islam. 321
Oleh yang demikian, perkembangan dan peranan institusi hisbah di Malaysia ini terutamanya dalam pengawasan bagi aspek ekonomi sememangnya sesuatu yang tidak boleh dinafikan lagi kerana ia telah mampu mencegah atau membasmi kemungkaran dan mendedahkan berbagai-bagai bentuk kesalahan, serta menggalakan masayarakat melakukan amal kebaikan. 3. Sumbangan dalam Aspek Sosial: Bagi sumbangan pengurusan dan pentadbiran Islam dalam pembangunan sosial, antaranya ialah: a. Pembangunan Sistem Pendidikan Agama Islam dan Istitusi Pengajian Islam Demi Melahirkan Masyarakat Islam yang Soleh dan Bertakwa Pembangunan institusi pendidikan juga merupakan antara bukti pembangunan Islam di Malaysia. Corak sistem pendidikan yang wujud pada ketika itu adalah secara tidak formal atau rasmi dan ia wujud dan berkembang bersama-sama dengan perkembangan agama Islam di negeri-negeri Semenanjung Tanah Melayu dan Kepulauan Melayu (Azrin, 2014: 49). Pada ketika itu, wujud institusi pendidikan yang dinamakan sebagai sekolah pondok yang mana dibangunkan dan dimajukan bersama oleh masyarakat setempat secara gotongroyong. Konsep sekolah pondok in diperluas dan diperkembangkan pada abad ke 18 dan ke 19 khususnya di negeri Terengganu, Kelantan dan Kedah. Rentetan perkembangan ini, lahir ramai ilmuwan Islam di Semenanjung Tanah Melayu (Azrin, 2014: 50). Setelah itu, arus pemodenan yang berlaku telah mengemudi sistem pendidikan di negara Malaysia ini ke arah yang lebih formal dan sistematik lalu menyebabkan banyak pusat pengajian Islam dan universiti-universiti ditubuhkan serta sekolah-sekolah agama kerajaan turut dibina (Azrin, 2014: 50). Antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang berteraskan Islam itu ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis, Kolej Dar Al-Hikmah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kolej Universiti INSANIAH (KUIN), Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Kolej Islam Johor, Kolej Pengajian Tinggi Islam Johor (MARSAH), Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka (KTIAM), Kolej Universiti Teknologi Islam (UNITI), Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR), Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) dan lain-lain. Selain daripada penubuhan IPTA dan IPTS yang berteraskan Islam, universiti lain yang bukan berlatarkan Islam juga dilihat turut menawarkan pengajian berteraskan Islam menerusi fakulti dan jabatan pengajian Islam yang ditubuhkan seperti di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan sebagainya. Sementara itu, perkembangan pendidikan agama Islam untuk pelajar sekolah di peringkat rendah mahupun menengah semakin meluas. Ini dilihat dengan penubuhan sekolah-sekolah agama pula adalah berasaskan jenisnya seperti sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), sekolah agama menengah tinggi (SAMT), sekolah menengah agama persekutuan (SMAP), sekolah menengah arab (SMA), sekolah rendah agama, sekolah pondok atau madrasah, sekolah tahfiz dan seumpamanya. Pembangunan pendidikan agama di peringakat sekolah-sekolah ini merupakan tunjang dan asas utama 322
dalam pembinaan generasi berilmu, beriman dan berakhlak. Kesedaran beragama perlu dipupuk bermula di peringkat sekolah lagi. Dengan itu, ia juga memerlukan kerjasama dan galakan daripada semua pihak sama ada ibu bapa, kerajaan atau bukan kerajaan dan semua masyarakat untuk menyokong usaha murni dalam membina generasi yang bertakwa. Oleh yang demikian, melalui penubuhan institusi pendidikan inilah segala generasi yang berilmu agama dan para ulama dapat dicanai dan dilahirkan. Dari situ juga akan melahirkan generasi yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT di samping memiliki akhlak yang terpuji. b. Membangunkan Pelbagai Program dan Aktiviti Kerohanian yang Berteraskan Dakwah Islamiyyah Sebagai Agen kepada Pembangunan Modal Insan Pembangunan sumber manusia menjadi fokus utama kepada pembangunan Islam kerana manusia menjadi penentu dan kayu ukur kepada keupayaan satu-satu pembangunan yang dibina. Sehubungan itu, pembangunan Islam di Malaysia itu hendaklah menyediakan tenaga manusia dan barisan pelapis yang mencukupi untuk melaksanakan pembangunan yang cemerlang baik dari segi rohani mahupun jasmani. Rohani adalah lebih penting daripada jasmani kerana tidak ada gunanya kejayaan pembangunan modal insan jika akhlak dan sahsiah manusia itu rosak dan binasa. Kerajaan juga perlu menggalakkan pemahaman agama yang membentuk peribadi rakyat umat Islam di negara Malaysia ini melalui program dakwah atau syarahan ilmu sebagai pemantapan rohani yang dijalankan secara sinergi dan kerjasama semua masyarakat untuk menjayakan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), PERKIM, YAPEIM, YADIM, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), TV Al-Hijrah, Radio IKIM FM, al-kuliyyah TV3, Da i Dakwah Milenia TV3, Imam Muda Astro, Tanyalah Ustaz TV9, Forum Perdana Ehwal Islam TV1 dan lain-lain lagi. Ini bukan sahaja penting sebagai satu medium penyebaran ilmu agama yang berguna, malah sebagai satu suntikan semangat rohani dan pemantapan iman serta menambahkan lagi ketakwaan agar umat Islam sedar dan bangun agar rajin berusaha ke arah kejayaan di dunia dan akhirat serta untuk mendapat keredaan oleh Allah SWT. Pembangunan modal insan menjadi teras kepada Misi Nasional dalam Rancangan Malaysia Ke-Sembilan dalam menuju Wawasan 2020. Terdapat empat strategi utama untuk melahirkan modal insan berminda kelas pertama ialah meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan, memperkukuhkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), sains dan inovasi, memupuk masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral dan memperkasakan golongan belia dan wanita (INTAN, 2006: 280). Semua aspek ini memerlukan kepada kekuatan rohani atau spiritual yang tinggi iaitu iman dan takwa sebagai pemandunya agar segala apa yang dikerjakannya mudah mendapat kejayaan serta turut diredai oleh Allah SWT. Apabila pembangunan manusia berteraskan iman dan takwa ini berjaya dibentuk dan dilahirkan, maka segala objektif pembangunan Islam akan tercapai kerana masyarakat itu telah menghidupkan roh Islam dalam diri mereka dalam meningkatkan kualiti hidup manusia dalam pelbagai aspek. Untuk menyokong lagi usaha pembangunan rohani tersebut, kerajaan juga telah menubuhkan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam (DPNI) dalam pentadbiran yang telah diperkenalkan sejak tahun 1985 iaitu adalah untuk menerapkan dan mengaplikasikan unsur-unsur Islam dalam pentadbiran dan kehidupan rakyat Malaysia. Nilai-nilai tersebut adalah seperti amanah, bertanggungjawab, ikhlas, dedikasi, sederhana, tekun, bersih, berdisiplin, bekerjasama, berbudi mulia dan bersyukur yang mana ia merupakan kunci kejayaan 323
pentadbiran sesebuah negara (INTAN, 1991: 3). Pada tahun 2003, kerajaan memperkenalkan pula pendekatan Islam Hadhari yang merupakan kesinambungan kepada Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam (DPNI). Kedua-duanya menjadi garis panduan ke arah pembentukan akhlak yang terpuji dalam kehidupan setiap rakyat Malaysia yang berlandaskan etika kerja Islam (Adlina, 2011: 25). Untuk memelihara akhlak dan sistem nilai masyarakat, kerajaan juga telah menubuhkan Lembaga Penapisan Filem (LPF) di bawah Seksyen 3 Akta Filem (Penapisan) 1952 (disemak tahun 1971) bagi melindungi akhlak masyarakat daripada sebarang pengaruh buruk dan unsur-unsur negatif menerusi filem. Oleh yang demikian, hanya kesedaran berteraskan nilai-nilai Islam sahaja yang mampu membawa masyarakat pulang ke pangkal jalan. Kesimpulan Setelah apa yang dibincangkan mengenai pengurusan dan pentadbiran Islam di Malaysia ini, maka boleh disimpulkan bahawa telah terbuktinya pembangunan pengurusan dan pentadbiran Islam di Malaysia ini dilihat telah banyak memberikan sumbangan yang amat berguna dan bermanfaat terhadap masyarakat, organisasi, agama dan negara terutamanya dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Pembangunan sistem pengurusan dan pentadbiran Islam di Malaysia pada hari ini, majoritinya telah berkembang dengan hikmah dan mengamalkan konsep wasatiyyah sebagai teras untuk memajukan umat Islam tanpa memudaratkan golongan yang bukan Islam. Secara tegasnya, adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat Malaysia terutamanya semua yang beragama Islam untuk melaksanakan pengurusan dan pentadbiran secara Islamik yang berdasarkan paradigma tauhid demi membina peradaban yang diredai dan dirahmati oleh Allah SWT. Oleh yang demikian, perlaksanaan pengurusan dan pentadbiran yang berlandaskan kepada ajaran Islam perlu dikekalkan dan diperluaskan lagi demi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Rujukan Adlina Ab. Halim. (2011). Pendekatan Islam Hadhari dan Persepsi Belia: Satu Dapatan Kajian. Jurnal Hadhari 3 (1): 21-40. UKM Bangi: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Institut Islam Hadhari UKM. Azrin Ibrahim. (2014). Amalan Hisbah di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). INTAN. (2006). Pentadbiran dan Pengurusan Awam di Malaysia. Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). (2012). Kejayaan Institusi-Institusi di Bawah Menteri Jabatan Perdana Menteri. Wilayah Persekutuan, Putrajaya: JAKIM. Malaysia Kita. (2014. Selangor: International Law Book Services (ILBS). Perlembagaan dan Undang-Undang Am. (2014). Selangor: International Law Book Services (ILBS). 324
Wan Nik Wan Yusof & Asma Husna Sulaiman. (2006). Islam dalam Politik Malaysia: Satu Kritikan terhadap Islam Hadhari. Kota Bharu: Centre for Political Analysis and Strategic Development. 325