UCAPAN ALU-ALUAN YBHG. DATO DR. MAZLAN YUSOFF PENGARAH INSTITUT TADBIRAN AWAM NEGARA SEMPENA WACANA TRANSFORMASI KEPIMPINAN MUDA MERAPATKAN JURANG GENERASI DALAM KOMUNITI 18 MAC 2014 (SELASA), 9.00 PAGI INTAN, KAMPUS WILAYAH SELATAN KLUANG, JOHOR
Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1Transformasi dan Salam 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Saudari/Saudari pengacara majlis, Yang Berbahagia Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Pengarah-Pengarah Bahagian JPA dan INTAN Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Dato -Dato, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan inayahnya jua maka dapatlah kita bersama-sama pada pagi ini bagi menghadiri Wacana Transformasi Kepimpinan Muda dengan temanya Merapatkan Jurang Generasi Dalam Komuniti. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berbahagia Tan Sri Mohammad Zabidi Zainal, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang sudi meluangkan masa untuk hadir bagi menyampaikan ucaptama dan seterusnya merasmikan wacana ini. Pastinya perkongsian serta 2
amanat YBhg. Tan Sri akan menjadi perangsang serta inspirasi kepada kita semua untuk bersama-sama merealisasikan aspirasi negara. 2. Di kesempatan ini juga saya ingin mengalu-alukan kehadiran para peserta wacana yang hadir. Saya dimaklumkan ramai yang datang dari Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Saya turut dimaklumkan ramai yang memulakan perjalanan di awal pagi tadi iaitu sebelum solat subuh semata-mata untuk bersama-sama di majlis wacana ini. Komitmen yang ditunjukkan oleh para hadirin ini mencerminkan kesungguhan tuan-tuan dan puan-puan untuk berkongsi serta menerokai isu transformasi kepimpinan muda serta bagaimana merapatkan jurang generasi khususnya dalam komuniti atau akar umbi. Tahniah. Yang Berbahagia Dato, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian 3. Generasi muda pada hari ini yang juga dikenali dengan gelaran The Millenials dan beberapa lagi gelaran lain seperti Gen-Y, GenNext, Google Generation, Echo Boom dan Tech Generation merupakan tenaga kerja terbesar negara iaitu seramai 7.3 juta orang berbanding Baby Boomers seramai 3.3 juta orang. Statistik ini menunjukkan kepelbagaian generasi dalam kantung sumber tenaga kerja dan sudah tentu akan mencetuskan perbezaan dari segi pemikiran, personaliti, trait dan nilai. Perbezaan ini bukanlah satu penghalang untuk mencapai kesepaduan dan kesepakatan. 3
Malah ia sebenarnya merupakan blessing in disguise, yang memberi peluang kepada kita pelbagai generasi untuk berkongsi idea, kepakaran dan pengalaman bagi mencapai visi dan misi yang disasarkan. Perbezaan antara generasi seharusnya dijadikan kekuatan dalam usaha mencapai kejayaan dan kemajuan bersama. 4. Hakikatnya menjelang dekad yang akan datang, kita akan menyaksikan perubahan besar dalam kepimpinan kerana kebanyakan pemimpin daripada generasi Baby Boomer akan bersara dan digantikan dengan kepimpinan generasi baru. Sehubungan dengan itu adalah menjadi tanggungjawab organisasi dan pemimpin masa kini untuk melaksanakan perubahan dan merangka strategi menghadapi transformasi pesat yang berlaku mencakupi pelbagai bidang yang saling berhubung kait termasuk kemahiran kepimpinan dalam menghadapi persekitaran yang dinamik. With the Baby Boomers exiting the workforce, there is an expectation for younger generation to come in and fill these positions. For that, we want to make sure they see and understand how to prepare themselves (Walt Blomberg). 5. Justeru, wacana pada hari ini bertujuan untuk melihat keseluruhan transformasi yang sedang kita lalui. Wacana ini juga akan mengupas pengalaman kepimpinan generasi muda memimpin pelbagai organisasi termasuk kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) diperingkat akar umbi atau komuniti bagi melihat isu-isu yang dihadapi pelbagai sektor yang melibatkan kepelbagaian 4
generasi selain meneroka strategi dan mengadaptasi amalan terbaik melalui sesi diskusi panel dan sesi pembentangan daripada penceramah yang berpengalaman. Yang Berbahagia Dato, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian 6. Dalam ruang dan tempoh yang singkat ini, saya amat berharap agar tuan-tuan dan puan-puan dapat mengambil peluang sebaik mungkin untuk berkongsi idea, pemikiran serta pandangan dalam usaha kita untuk merapatkan jurang perbezaan antara generasi dalam komuniti. Suka saya untuk mengingatkan diri saya dan para hadirin bahawa setiap generasi adalah pelengkap kepada satu sama lain, bak kata pepatah Melayu Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Semoga kita semua beroleh manfaat daripada penganjuran wacana ini. 7. Justeru, tanpa melengahkan masa lagi, saya dengan segala hormat dan takzimnya menjemput Yang Berbahagia Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal untuk menyampaikan ucaptama dan seterusnya merasmikan Wacana Transformasi Kepimpinan Muda. Dengan segala hormatnya dipersilakan. Sekian. Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 5