BIDANGKUASA MAHKAMAH SYARIAH BERKAITAN PERMOHONAN KELUAR ISLAM: KAJIAN UNDANG- UNDANG DI BEBERAPA NEGERI DI MALAYSIA

Similar documents
UNDANG-UNDANG MALAYSIA. Akta 369 AKTA HARI KELEPASAN (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Hari Kelepasan 1951.

BAB KELIMA KESIMPULAN DAN CADANGAN. agama Islam oleh hanya satu pihak daripada pasangan perkahwinan bukan Islam akan

RUJUKAN KEPADA MAZHAB DALAM KETETAPAN FATWA: ANALISA UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN ISLAM DI MALAYSIA

PERATURAN-PERATURAN PERUBATAN (MENETAPKAN PEPERIKSAAN BAGI PENDAFTARAN SEMENTARA) 2015

PEMBUBARAN PERKAHWINAN KERANA PERTUKARAN AGAMA : TUNTUTAN TERHADAP RELIEF SAMPINGAN DI BAWAH AKTA 1976

PERATURAN-PERATURAN PERKHIDMATAN KUARANTIN DAN PEMERIKSAAN MALAYSIA (PENGELUARAN PERMIT, LESEN DAN PERAKUAN) 2013

HARTA WASIAT ORANG ISLAM: SATU ULASAN RINGKAS DARI PERSPEKTIF PERUNDANGAN DI MALAYSIA

AKTA MEMBAHARUI (PERKAHWINAN DAN PERCERAIAN) (PINDAAN) AKTA 1976

HISBAH PARAMETERS IN SYARIAH CRIMINAL LEGISLATIVE FRAMEWORK IN MALAYSIA: OVERVIEW OF PREVENTION OF KHALWAT (CLOSE PROXIMITY) CRIMINAL OFFENSES

UNIVERSITI ISLAM MALAYSIA PENERBITAN KHAS SEMPENA FORUM UNDANG-UNDANG 11 April 2017

(The Human Soul Based on the Opinion of Fakhr al-din al-razi) ELBAHLOUL MOHAMED HUSSEIN* MOHD NASIR OMAR AHMAD SUNAWARI BINLONG MUDASIR BIN ROSDER

TERMINATION OF CONTRACT: ABANDONMENT OF WORK MOHD NUR IMAN AL HAFIZ BIN MOHD JAMIL

PERKEMBANGAN UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN ISLAM DI NEGERI UTARA SEMENANJUNG : TUMPUAN PADA ASPEK PERUNDANGAN PUSAKA ( A : A

THE PREVAILING PRACTICE IN DECIDING THE PRACTICAL COMPLETION OF CONSTRUCTION WORK. MOHAMMAD HARITH BIN MOHD YUNOS

MURTAD: ANTARA HAK KEBEBASAN BERAGAMA DAN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH DI MALAYSIA

Implikasi Pemelukan Islam Terhadap Perkahwinan Sivil di Malaysia. Azlan Shah Nabees Khan, Pelajar PascaSiswazah, Fakulti Pengajian Islam

Fakta mengenai pemohon kedua lebih kurang sama, melainkan tarikh-tarikh berkenaan berbeza.

SULIT P2115-EKONOMI DARI PERSPEKTIF ISLAM/JAN 08

AKTA MEMBAHARUI (PERKAHWINAN DAN PERCERAIAN) (PINDAAN) AKTA 1976

IMPROVING ENERGY SAVING EVALUATION IN LIGHTING USING DAYLIGHT UTILIZATION WITH AREA SEGREGATION TECHNIQUE MOHAMMAD ASIF UL HAQ

DOKUMEN TIDAK TERKAWAL

TINDAKAN PIHAK BERKUASA NEGERI DAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN TERHADAP KES PELANGGARAN SYARAT GUNA TANAH

HARTA PUSAKA ISLAM DIMALAYSIA: ANTARA PERUNDANGAN DAN PENTADBIRAN.

OPERASI PERKHIDMATAN SOKONGAN

kajian ini terdapat beberapa rumusan yang dapat penulis simpulkan. (1) Prinsip Kebajikan Kanak-Kanak Merupakan Pertimbangan Utama

PARLIMEN MALAYSIA PEMBERITAHU PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

Latihan MyMesyuarat -PENGERUSI- DibentangkanOleh

EVALUATION USABILITY MEASUREMENT INDEX FOR HIGHER EDUCATION INSTITUTE MUHAMMAD ALIIF BIN AHMAD

Arahan Amalan Hakim Besar Malaya Bil 1 Tahun 2016 Pengendalian Kes-Kes Jenayah Jalanan Secara Fast-Track di Mahkamah Rendah Malaya

KONSEP KAJIAN AMALAN ISTITABAH BAGI KESALAHAN AKIDAH DI MALAYSIA DARI ASPEK SOSIO PERUNDANGAN

PERKHIDMATAN UTAMA PRASISWAZAH

SCHOOL OF PHYSICS LOGO DESIGN CONTEST

ISLAM, UNDANG-UNDANG DAN PERLEMBAGAAN MALAYSIA. Saya ucapkan terima kasih kepada Sisters In Islam kerana sudi

FEAR OF CRIME WITHIN NON-GATED RESIDENTIAL COMMUNITIES IN THE URBAN CONTEXT SITI AISHAH BINTI AHMAD KAMIL

Manual Pengguna. Disediakan Untuk : Audit Korporat

Muhammad Hafiz Badarulzaman* Abstrak

ANALISIS PERBANDINGAN KESALAHAN DAN HUKUMAN BERKAITAN DENGAN ZAKAT DALAM ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH NEGERI-NEGERI DI MALAYSIA

ANALISIS PERBANDINGAN KESALAHAN DAN HUKUMAN BERKAITAN DENGAN ZAKAT DALAM ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH NEGERI-NEGERI DI MALAYSIA

MANAGEMENT OF VARIATION ORDER IN PUBLIC WORKS DEPARTMENT MALAYSIA CONSTRUCTION PROJECT SHARIL AMRAN BIN AMIR MOHAMED

PUSAT PENGAJIAN SAINS PERUBATAN UNIVERSITI SAINS MALAYSIA MS ISO 9001:2008. PENGURUSAN PEMBELIAN BAHAN PAKAI HABIS (VOT 27000) (PPSP/Pent/CP5)

MAHKAMAH SYARIAH DI MALAYSIA: KEMAJUAN DAN PENCAPAIAN 1

COMMON CONTRACTUAL ISSUES FACED BY MALAYSIAN CONTRACTORS OPERATING IN MIDDLE EAST USING FIDIC FORM OF CONTRACTS

PROCEEDING 2ND INTERNATIONAL CONFERENCE ON ISLAMIC EDUCATION AND LAW (2ND ICIEL)

Jasri Jarnal Universiti Kebangsaan Malaysia. Hasnizam Hashim' Universiti Sains Islam Malaysia. Abstrak

UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

UTHM/PB/100 6/4/ Jld.2 (1) Tarikh: 02 Januari 2012 PEKELILING BENDAHARI BIL. 1 / 2012

BAB KETIGA IMPLIKASI PEMELUKAN AGAMA ISLAM TERHADAP NAFKAH MENURUT UNDANG-UNDANG SIVIL

PERINTAH PENCEGAHAN PENGUBAHAN WANG HARAM DAN PENCEGAHAN PEMBIAYAAN KEGANASAN (PENGISYTIHARAN ENTITI DITENTUKAN DAN KEHENDAK UNTUK MELAPOR) 2014

وظاي ف الدولة الا سلامية (The Duties And Function Of An Islamic State)

TUNTUTAN FASAKH: KAJIAN DARI PERSPEKTIF UNDANG-UNDANG TATACARA MAL. Fasakh Proceedings: A Study from Perspective of Shariah Courts Civil Procedure

PERINTAH ISTITABAH BAGI KESALAHAN AKIDAH: SOROTAN KES ABDUL KAHAR B. AHMAD

ABSTRACT Muslim youth face many challenges today due to the huge scientific development. New information technologies can be considered one of the mos

Konflik di Antara Fatwa dan Keputusan Panel Penasihat Syariah dalam Kes Muamalat di Mahkamah Malaysia

Secara keseluruhannya bab ini akan membincangkan tentang kes Shamala. ditulis oleh Yang Arif Hakim menghuraikan secara terperinci tentang hak hadanah

SEMAKAN KEHAKIMAN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH DI MALAYSIA: ULASAN LITERATUR

NOTA 5: PANDUAN MENGHASILKAN LAMAN (SITES) 1.1 Pengenalan

ISU-ISU PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA ORANG ISLAM DALAM KONTEKS PERUNDANGAN MALAYSIA.

KEADILAN RESTORATIF DI BAWAH RESOLUSI PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: HAK TERTUDUH DAN HAK MANGSA JENAYAH

HAK UNTUK MEMILIH AGAMA ANUTAN MENURUT PERSPEKTIF AGAMA-AGAMA DI MALAYSIA

DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI PULAU PINANG SAMAN PEMULA NO : 24NCVC-45-01/2014 ANTARA

AUDIT SYARIAH: TEORI DAN PELAKSANAAN. Azizi Che Seman Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

AN INVESTIGATION ON VEHICLE OVERLOADING IN MUAR MELAKA ROAD HAZLINA BINTI MARWAN

ISU KUTIPAN ZAKAT TANPA KEBENARAN: KAJIAN DARI PERSPEKTIF PERUNDANGAN SYARIAH

JAWAB LISAN DATO' SRI HASAN BIN MALEK [KUALA PILAH]

Bab 2. Polisi e-pembelajaran di IPT Malaysia. Hanafi Atan Mohamed Amin Embi Supyan Hussin. Pengenalan

KESAN PERTUKARAN AGAMA IBU BAPA TERHADAP STATUS AGAMA ANAK

MAQASID AL-SYARIAH DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN: SUATU PERBAHASAN AWAL

MAHKAMAH PERUSAHAAN MALAYSIA NO. KES: 10/4 834/14 ANTARA KOLANDAN A/L RAMASAMY DAN BELTON SDN. BHD. AWARD NO. 981 TAHUN 2017

(The Peaceful Coexistence Amongst Religions In Islam)

MATROID STRUCTURE OF DYNAMIC GRAPH MODEL OF EVAPORATION PROCESS IN A BOILER SYSTEM NUR SYAHIDAH BINTI KHAMIS UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

SKOP DAN PERANAN BADAN PENGUATKUASA JENAYAH SYARIAH NEGERI SARAWAK: KUPASAN DAN CADANGAN PENAMBAHBAIKAN

PENDEKATAN ISTITABAH MELALUI RUNDING CARA AKIDAH DI JABATAN MUFTI SELANGOR DAN PERMASALAHAN BERKAITAN

KEDUDUKAN KANAK-KANAK YANG BERKONFLIK DENGAN UNDANG- UNDANG DAN PERUNDANGAN JENAYAH DI MALAYSIA

QAZAF DALAM UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH DI MALAYSIA: SUATU ANALISIS SEMASA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA

KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI SYARIAH TERENGGANU TENTANG NASAB ANAK TAK SAH TARAF: KRISIS PERUNDANGAN?

reflective thought is the active, careful and persistent examination of any belief or purported form of knowledge, in the light of the grounds that

MANUAL PENGGUNA (USER MANUAL) PELUPUSAN ASET/INVENTORI (DISPOSAL ASSET/INVENTORY)

Pemerkasaan Mahkamah Syariah dalam Pentadbiran Harta Pusaka Masyarakat Islam menurut Kerangka Federalisme di Malaysia

ISU KUTIPAN ZAKAT TANPA KEBENARAN: KAJIAN DARI PERSPEKTIF PERUNDANGAN SYARIAH

PERATURAN PERMAINAN LAWN BOWLS SUKFAC 2017

PUSAT UNDANG-UNDANG KULLIYYAH UNDANG-UNDANG AHMAD IBRAHIM UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA

FORUM 7 APAKAH PROSES SAH PERMOHONAN UNTUK MENGADAKAN TINDAKAN INDUSTRI (MOGOK, PIKET, LOCK OUT) DI MALAYSIA?

Faraq Perkahwinan bagi Pasangan Tak Sah Taraf di Negeri Sembilan

Institusi Raja-Raja Melayu: Peranannya dalam Memelihara Kedudukan Islam dari Sudut Perlembagaan

SPEECH BY COMRADE ASYIFAH RASHID MARSILING BRANCH PEOPLE S ACTION PARTY CONVENTION NOVEMBER 2017 SINGAPORE S PLACE IN THE WORLD

AMANAH DAN PROSEDUR Diputuskan: [1] [2] [3]

(The rise of al-ahbash movement and Its Impact in Malaysia) Faculty of Islamic Civilization, Universiti Teknologi Malaysia

PENGGUNAAN MODUL ISTITABAH DALAM MENGENDALIKAN KESALAHAN AKIDAH DI SELANGOR

HAK MILIK PmAT mrenajlr.mi mm.u. sum Jl. ! l1hat Sebelah. 'Pe l) tesis

Proses Penyelidikan Tindakan. MTE3133: Penyelidikan Tindakan

Autoriti Agama di Malaysia: Kedudukan dan Kritikan

IAIS Malaysia Policy Issue Papers

THE EFFECTS OF TAPERED SLEEVE IN IMPROVING THE ANCHORAGE BOND OF REINFORCEMENT BAR PAMELA ADELINE LO

MOSAICKING OF TORN IMAGE USING GRAPH ALGORITHM AND COLOR PIXEL MATCHING IBRAHIM THORIG

FAKTOR-FAKTOR PERUNDANGAN YANG LEMAH MENYEBABKAN TUNGGAKAN KADAR PIHAK BERKUASA TEMPATAN DI MALAYSIA

Harta Sepencarian vs Harta Perkahwinan dalam Perundangan Sivil: Satu Sorotan Ringkas. Mohd Norhusairi Mat Hussin 1 Mohd Hafiz Jamaludin 2 ABSTRAK

ULASAN KES SHAHNAZ MAJID LWN DATO SRI MAHMUD ABU BEKIR TAIB [2018] 6 CLJ 663

ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH DI MALAYSIA: KAJIAN KESERAGAMAN DAN KETIDAKSERAGAMAN BAGI PERUNTUKAN KESALAHAN TATASUSILA

MOLECULAR PHYLOGENY OF SELECTED MANGO CULTIVARS BASED ON INTERNAL TRANSCRIBED SPACER (ITS) REGION SHAHKILA MOHD ARIF

Transcription:

Volume: 3 Issues: 13 [December, 2018] pp.254-262] International Journal of Law, Government and Communication eissn: 0128-1763 Journal website: www.ijgc.com BIDANGKUASA MAHKAMAH SYARIAH BERKAITAN PERMOHONAN KELUAR ISLAM: KAJIAN UNDANG- UNDANG DI BEBERAPA NEGERI DI MALAYSIA JURISDICTION OF SYARIAH COURT IN RESPECT OF APPLICATION TO RENOUNCE ISLAM: A LEGAL STUDY IN CERTAIN STATES IN MALAYSIA Rohana Abdul Rahman 1 Fariza Romli 2 Rohizan Halim 3 Rusniah Ahmad 4 1,2,3,4 Pusat Pengajian Undang-undang, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia. Email: 1 hana@uum.edu.my, 2 arfariza@uum.edu.my, 3 rohizan@uum.edu.my, 4 rusniah@uum.edu.my Accepted date: 16-12-2018 Published date: 31-12-2018 To cite this document: Abdul Rahman, R., Romli, F., Halim, R. Ahmad, R. (2018). Bidangkuasa Mahkamah Syariah Berkaitan Permohonan Keluar Islam: Kajian Undangundang Di Beberapa Negeri Di Malaysia. International Journal of Law, Government and Communication, 3 (13), 254-262. Abstrak: Penggubalan undang-undang berkaitan hal ehwal Islam di Malaysia tertakluk kepada badan perundangan negeri masing-masing yang menghasilkan peruntukan perundangan yang tidak selaras. Terdapat negeri yang memperuntukkan mengenai prosedur keluar Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam mengisytiharkan status agama individu, manakala ada negeri yang memperuntukkan keluar Islam sebagai satu kesalahan jenayah menghina agama. Objektif kertas kerja ini ialah mengkaji peruntukan Enakmen Syariah di Wilayah-Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berkenaan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam isu permohonan keluar Islam. Kaedah penyelidikan secara pendekatan perbandingan dibuat ke atas isi kandungan Enakmen Syariah sedia ada di ketiga-tiga negeri tersebut. Kertas kerja ini mendapati peruntukan undang-undang yang lebih jelas di Negeri Sembilan berkaitan bidangkuasa Mahkamah Syariah berhubung isu keluar Islam berbanding peruntukan yang terdapat di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang. Negeri Sembilan menggariskan prosedur permohonan keluar Islam. Adalah ditegaskan juga bahawa Mahkamah Syariah hanya terpakai kepada orang Islam sahaja dan tidak terpakai ke atas orang bukan Islam. Kata Kunci: Enakmen Syariah, Keluar Islam, Mahkamah Syariah 254

Abstract: The law relating to Islamic affairs in Malaysia is subject to the respective state legislature which in turn has caused inconsistent legislation amongst the states. Certain states provide for a procedure to renounce Islam and the jurisdiction of the Syariah Court in confirming the religious status of an individual whereas other states provide that renouncing Islam is a criminal offence of humiliating or disgracing Islam. The objective of this paper is to examine Islamic law provisions in Federal Territories, Negeri Sembilan and Pulau Pinang regarding the jurisdiction of the Syariah Court in the matter of renouncing Islam. Research method by way of comparative approach is made on the differing content of the existing Islamic law provisions in the three states. This paper finds that the provisions of law in the Negeri Sembilan Enactment is clearer than the provisions of law in the Federal Territory and Pulau Pinang. Negeri Sembilan outlines the procedure for an individual who wishes to renounce Islam without any repercussion. It is firmly noted that Syariah Court is applicable to Muslims only and not applicable to non-muslims. Keywords: Syariah Enactment, Renouncing Islam, Syariah Court Pendahuluan Menurut Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan, Malaysia merupakan sebuah negara persekutuan. Dalam sistem persekutuan wujud pembahagian kuasa perundangan di antara kerajaan Persekutuan dan Negeri. Penggubalan undang-undang berkaitan hal ehwal Islam tertakluk kepada badan perundangan negeri masing-masing yang menghasilkan peruntukan perundangan yang tidak selaras. Terdapat negeri yang memperuntukkan mengenai prosedur keluar Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam mengisytiharkan status agama individu, manakala ada negeri yang memperuntukkan keluar Islam sebagai satu kesalahan jenayah menghina agama. Undang-undang mengenai tatacara yang perlu diikuti sekiranya seseorang ingin meninggalkan Islam hanya terdapat di Negeri Sembilan. Ini dinyatakan dalam Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 (Pindaan 2009). Negeri-negeri lain antaranya Pahang dan Melaka menjadikan keluar Islam sebagai kesalahan menghina agama, dan hukuman yang boleh dikenakan tidak berbentuk hukuman Syariah sebenar. Kerajaan Kelantan cuba melaksanakan hukuman Syariah iaitu hukuman bunuh (hudud) bagi yang keluar Islam namun tidak dapat dilaksanakan kerana tindakan tersebut berkemungkinan ultra vires dengan undang-undang Persekutuan. Kuasa kerajaan negeri untuk menghukum pihak yang melakukan kesalahan bertentangan dengan ajaran Islam adalah tertakluk kepada beberapa sekatan yang dinyatakan oleh Perlembagaan Persekutuan. Pertama; adalah jelas dari Senarai 2 Jadual Kesembilan bahawa orang bukan Islam tidak tertakluk kepada Mahkamah Syariah. Kedua; undang-undang Syariah hanya terpakai kepada orang yang menganut agama Islam. Ketiga; tidak semua perkara berkaitan Islam di bawah bidang kuasa kerajaan negeri contohnya jenayah adalah dalam bidang kuasa kerajaan Persekutuan. Keempat; Mahkamah Syariah adalah tertakluk kepada kuasa menghukum di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 iaitu penjara maksimum tiga tahun, denda RM5000, enam sebatan atau gabungan keduaduanya. Hukuman yang dibenarkan di bawah Akta tersebut adalah tidak selaras dengan Syariat Islam, serta tidak setara dengan bidang kuasa menghukum di Mahkamah Sivil. Kelima; undang-undang di peringkat negeri yang berkaitan dengan hal ehwal Islam perlu 255

menghormati peruntukan kebebasan asasi Perkara 5 hingga 13 Perlembagaan Persekutuan, namun begitu banyak Enakmen digubal di peringkat negeri mengabaikan perkara ini. Contohnya peruntukan seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 (Pindaan 2009) berkaitan keluar Islam seperti penahanan di pusat pemulihan akidah dianggap bertentangan dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan dan penafian hak untuk keluar Islam bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan iaitu hak kebebasan beragama. Kertas kerja ini mengkaji peruntukan Enakmen Syariah sedia ada di Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Kertas kerja ini tidak membincangkan isu keluar Islam dari perspektif undang-undang Islam itu sendiri. Perbincangan juga tidak dibuat ke atas praktis atau amalan yang dilakukan oleh institusi yang menjaga hal ehwal Islam di negerinegeri tersebut sebaliknya tertumpu kepada peruntukan Enakmen Syariah sahaja. Berikut adalah beberapa contoh peruntukan undang-undang Islam yang berkait dengan isu keluar Islam di tiga buah negeri iaitu a) Wilayah Persekutuan, b) Negeri Sembilan dan c) Pulau Pinang. Pemilihan Wilayah-Wilayah Persekutuan dibuat kerana Parlimen meluluskan akta yang berkaitan hal ehwal Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan manakala Negeri Sembilan dipilih kerana mempunyai peruntukan undang-undang yang jelas berkaitan keluar Islam. Manakala Pulau Pinang pula mempunyai kes berkaitan keluar Islam yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah. Wilayah Persekutuan Akta berkaitan hal ehwal Islam yang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan antaranya ialah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) dan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Disemak 1988) (Akta 355). Jika diteliti tiada peruntukan mengenai keluar Islam dalam Akta 505 dan Akta 559. Akta 505 hanya memperuntukkan mengenai situasi atau prosedur untuk seseorang memeluk Islam dalam Bahagian IX (seksyen 85 sehingga seksyen 95). Selain itu, Akta 559 memperuntukkan mengenai kesalahan menghina dan mempersendakan agama Islam di dalam seksyen 7, 8 dan 9. Walau bagaimanapun, perbuatan keluar Islam tidak diklasifikasikan sebagai menghina agama Islam dalam Akta 559. Bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah pula diperuntukkan oleh seksyen 46 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 namun tidak mempunyai peruntukan khusus mengenai kuasa Mahkamah Syariah dalam menentukan status seorang Islam sebagai bukan Islam. Seksyen 46 memperuntukkan; (1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Syarie. (2) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-- 256

(a) dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen atau Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303), atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahankesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam yang sedang berkuatkuasa, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan baginya; (b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan yang berhubungan dengan (i)-(ix); dan (x) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis. Tiada peruntukan yang memberikan bidang kuasa nyata kepada Mahkamah Tinggi Syariah di Wilayah Persekutuan bagi membicarakan kes keluar Islam. Keadaan ini menunjukkan kelompangan yang ada dalam Akta berkenaan. Peruntukan untuk memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah dalam membicarakan kes-kes keluar Islam wujud dalam Senarai 2 Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Namun, Parlimen gagal menggubal peruntukan sedemikian bagi pemakaian di Wilayah Persekutuan. Kelompangan dalam peruntukan inilah yang menyebabkan Lina Joy beranggapan Mahkamah Syariah tidak berbidang kuasa untuk mendengar permohonan beliau (Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Yang Lain [2007] 3 CLJ 557; lihat juga PP lwn Mohd Noor bin Jaafar [2006] 1 CLJ 103 dan Latifah bte Mat Zin lwn Rosmawani bte Sharibun [2007] 5 CLJ 253 yang membincangkan isu bidang kuasa dan kesan peruntukan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan). Walaupun seksyen 46 (2) (b) (x) di atas boleh dihujahkan sebagai merangkumi kuasa memutuskan kes-kes keluar Islam adalah lebih elok sekiranya Enakmen diperjelaskan kerana Enakmen Negeri Sembilan dan Enakmen Pulau Pinang yang dibincangkan di bawah mempunyai frasa sebagaimana seksyen 46 (2) (b) (x) ditambah lagi dengan peruntukan yang lebih spesifik dalam mengisytiharkan status seseorang sebagai Islam ataupun bukan lagi seorang Islam. Walaupun ada pandangan bahawa bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah tersirat, seharusnya Enakmen memberikan bidang kuasa nyata agar pihak yang ingin memohon untuk keluar Islam serta Mahkamah baik Sivil mahupun Syariah tidak terkeliru. Dengan adanya bidang kuasa nyata, maka penyelesaian kes-kes keluar Islam akan menjadi lebih fokus kepada permasalahan sebenar yang dihadapi oleh pemohon iaitu sama ada pemohon masih seorang Islam atau telah keluar dari agama Islam. Negeri Sembilan Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang memperuntukkan prosedur bagi individu yang ingin keluar dari agama Islam tanpa memperuntukkan hukuman. Peruntukan seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 257

mengenai keluar daripada agama Islam menggariskan prosedur yang perlu dilalui oleh pemohon. Seksyen 119 menetapkan sebelum seorang boleh diisytiharkan oleh Mahkamah Syariah sebagai telah keluar dari agama Islam, beliau perlu membuat permohonan kepada hakim Mahkamah Tinggi Syariah dengan menyerahkan afidavit mengandungi fakta yang menyokong alasan keluar Islam. Hakim Mahkamah Tinggi Syariah boleh menangguhkan perbicaraan bertujuan menasihati pemohon supaya bertaubat dan jika telah bertaubat merekodkan taubat pemohon. Jika sekiranya pemohon enggan bertaubat, perbicaraan permohonan boleh ditangguhkan untuk tempoh selama 90 hari dan merujuk perkara tersebut kepada pegawai agama bagi sesi rundingcara. Ini bertujuan menasihati pemohon supaya menimbangkan semula permohonan beliau untuk meninggalkan agama Islam. Jika pada bilabila masa semasa sesi rundingcara pemohon bertaubat, pegawai agama berkenaan hendaklah membawa pemohon ke Mahkamah Tinggi Syariah dengan segera. Jika hakim berpuashati bahawa pemohon telah bertaubat, taubat tersebut hendaklah direkodkan. Selepas tamat tempoh 90 hari penangguhan perbicaraan dan sekiranya pemohon masih enggan bertaubat, pegawai agama yang menjalankan kaunseling dan rundingcara dikehendaki membawa pemohon ke Mahkamah Tinggi Syariah. Sekiranya hakim berpandangan bahawa masih ada peluang untuk pemohon bertaubat, perintah boleh dikeluarkan bagi penangguhan pendengaran permohonan bagi tujuan rundingcara dan bimbingan bagi tempoh tidak melebihi satu tahun. Jika dalam tempoh satu tahun ini, pemohon bertaubat maka, taubat tersebut hendaklah direkodkan. Jika setelah tamat tempoh setahun dan pemohon masih gagal bertaubat maka, hakim boleh membuat keputusan untuk mengisytiharkan bahawa pemohon telah meninggalkan agama Islam sebagai agamanya selepas membuat perintah berkaitan pembubaran perkahwinan, pembahagian harta sepencarian, hak pewalian, hak pusaka dan hadhanah. Peruntukan di atas ialah langkah yang sangat baik kerana menggariskan perkara yang perlu dilakukan oleh seseorang yang ingin keluar Islam termasuklah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Di sebalik keraguan yang timbul mengenai adakah pihak berkuasa negeri mempunyai bidang kuasa dalam kes-kes keluar Islam, tindakan mewujudkan peruntukan yang sebegini di Negeri Sembilan membuktikan bahawa pihak berkuasa negeri mempunyai bidang kuasa tersebut. Mengenai bidang kuasa mahkamah dalam mengisytiharkan status seseorang yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia sebagai masih Islam atau telah murtad, kedudukan di Negeri Sembilan juga amat jelas. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 dalam Bahagian IV di bawah seksyen 61 memperuntukkan kuasa yang jelas kepada Mahkamah Tinggi Syariah dalam membuat penentuan status seorang Islam seperti berikut: Seksyen 61: Bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah (3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah (a) dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang orang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen 258

Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa yang menetapkan kesalahankesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu; dan (b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu ialah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan (x) pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam; (xi) pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya; dan (xii) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis. Mahkamah Syariah di Negeri Sembilan menganggap ia berbidang kuasa dalam mengisytiharkan status seseorang sebagai telah murtad atau bukan lagi Islam. Perisytiharan ini dilihat tidak bertentangan dengan hukum syarak kerana mahkamah berdasarkan bukti yang ada hanya mengisytiharkan status dan bukannya memberi kebenaran bagi seseorang Islam untuk murtad. Ternyata peruntukan yang ada berkaitan keluar Islam serta bidang kuasa nyata Mahkamah Syariah di Negeri Sembilan membantu untuk menyediakan saluran dalam kes-kes melibatkan keluar Islam. Keadaan ini juga memudahkan keluarga bagi pihak yang telah meninggal dunia bagi mendapatkan pengesahan status simati sebagaimana berlaku dalam kes Dalam Perkara Nyonya binti Tahir, ex p Majlis Agama Islam Negeri Sembilan JHXXI/II 1427H 221-239 perisytiharan diberikan berdasarkan Seksyen 61(3)(b)(xi) di atas. Pulau Pinang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 tidak mempunyai peruntukan nyata mengenai prosedur keluar Islam sebagaimana yang wujud di Negeri Sembilan. Dari segi bidang kuasa Mahkamah Syariah pula, Pulau Pinang mempunyai peruntukan jelas seperti di Negeri Sembilan di mana Mahkamah Tinggi Syariah berbidang kuasa membuat perisytiharan status seorang Islam sebagai bukan lagi Islam. Menurut seksyen 61 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004, bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah ialah seperti berikut: (1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Pulau Pinang dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah. (2) Walau apa pun subseksyen (1), Ketua Hakim Syarie boleh bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan mengetuai Mahkamah itu. 259

(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah (a) dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang orang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen ini, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa yang menetapkan kesalahan-kesalahan dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu; dan (b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan (x) perisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam; (xi) perisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya; dan (xii) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis. Nampaknya bidang kuasa untuk mengisytiharkan status seseorang sebagai bukan lagi Islam diberikan secara nyata kepada Mahkamah Syariah di bawah seksyen 61 di atas. Seharusnya tidak timbul kekeliruan mengenai bidang kuasa sebagaimana yang berlaku dalam kes Siti Fatimah Tan [2009] 27 Jurnal Hukum II 185 dan Mahkamah Syariah Pulau Pinang juga tidak perlu membincangkan isu bidang kuasa sekiranya ada kes dibawa ke Mahkamah Syariah. Prosedur Keluar Islam Ternyata di kebanyakan negeri di Malaysia terdapat peruntukan dan prosedur yang jelas untuk seseorang individu memeluk agama Islam seperti menetapkan syarat-syarat untuk memeluk agama Islam serta tugas-tugas seorang Muallaf apabila menjadi orang Islam dan sebagainya. Contohnya seperti seksyen 70 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Kedah Darul Aman) 2008 dan seksyen 107 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004. Walau bagaimanapun, tiada peruntukan atau prosedur yang jelas dalam mana-mana undang-undang bagi mereka yang ingin keluar dari agama Islam. Agak janggal apabila situasi ini tidak dijelaskan kerana ia akan menyebabkan lebih banyak isu yang berkaitan dengan keluar Islam ini dibiarkan tergantung atau in limbo. Tidak hairanlah ada pihak-pihak yang cuba mengambil jalan sendiri dan terus ke Mahkamah Sivil untuk mencari keadilan. Isu-isu kontroversi yang timbul apabila Mahkamah Syariah diberikan bidang kuasa untuk mengisytiharkan seseorang itu sebagai keluar Islam tidak sepatutnya dipolitikkan kerana penyelesaian harus dicari bukan disembunyikan dengan harapan ia akan pudar dimakan masa. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa sudah ada toleransi di pihak Mahkamah Syariah sendiri untuk menerima penglibatan orang bukan Islam bagi membantu kes-kes yang dibicarakan di Mahkamah Syariah (Temubual Mahkamah Syariah 2016). Contohnya Mahkamah Syariah Pulau Pinang telah menerima testimoni saksi yang bukan beragama Islam 260

dalam semua bidang termasuklah pakar-pakar perubatan (undang-undang keterangan Islam). Apa yang penting adalah setiap perubahan atau pindaan undang-undang yang melibatkan masyarakat sama ada yang beragama Islam atau tidak beragama Islam, rakyat harus diberikan pendidikan agar mereka mengetahui hak dan tanggungjawab masing-masing apabila memeluk agama Islam. Agama Islam juga tidak harus dipermainkan demi kepentingan diri sendiri atau untuk memenuhi agenda tertentu. Kejahilan yang ada kini ternyata menyebabkan pelbagai masalah yang kritikal yang memerlukan kepada penyelesaian yang lebih matang dan berpijak di bumi nyata. Sentimen agama dan juga perkauman tidak harus dijaja dan dicanangkan sehingga menimbulkan keresahan yang tidak munasabah seperti yang berlaku semasa perbicaraan kes keluar Islam. Penutup Berdasarkan perbincangan di atas mengenai bidangkuasa Mahkamah Syariah di negeri-negeri di Malaysia berhubung isu keluar Islam, Negeri Sembilan mempunyai peruntukan yang lebih jelas setakat ini berbanding peruntukan undang-undang yang terdapat di Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang. Peruntukan undang-undang di Negeri Sembilan menggariskan dengan jelas apakah perkara yang perlu dilakukan oleh seseorang yang ingin keluar Islam termasuklah bidang kuasa mahkamah. Negeri Sembilan juga merupakan satu-satunya negeri yang memperuntukkan prosedur bagi individu yang ingin keluar dari Agama Islam. Mahkamah hanya mengisytiharkan status dan bukannya memberi kebenaran bagi seseorang Islam untuk keluar Islam. Terdapat kebimbangan mengenai hak kebebasan agama yang didakwa akan terjejas sekiranya Mahkamah Syariah didaulatkan bidang kuasanya. Sentimen ini sepatutnya tidak ditimbulkan kerana bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya terpakai kepada orang-orang Islam sahaja. Isu keluar Islam perlulah diselesaikan terlebih dahulu di Mahkamah Syariah, begitu juga isuisu sampingan yang bersangkutan seperti pembubaran perkahwinan, pembahagian harta sepencarian, hak pewalian, hak pusaka dan hadhanah. Penghargaan Artikel ini adalah berdasarkan penemuan daripada penyelidikan yang dibiayai oleh Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) Kementerian Pendidikan Malaysia. Rujukan Abdullah. N. C. (2007). Muslim Convert Spouse and Non Convert Spouse: The Conflict Continues. The Law Review 304. Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 Anon. (2011). Akta Murtad perlu kajian menyeluruh. Harian Metro, 18 Oktober: 12. Anon. (2011). Kuatkuasa Enakmen halang Muslim Murtad. Harian Metro, 12 Disember: 25. Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 (Pindaan 2009) Jalil, F. & Halim. R. [2011]. Bukti Amalan dalam Penentuan Status Agama: Pendirian Mahkamah. 4 QLR 27. 261

Md. Isa. Y. & Yusof. Y. (2007). Implikasi Kes Lina Joy: Satu Keperluan kepada Penyeragaman Prosedur Keluar Islam (Murtad) oleh Mahkamah Syariah. KANUN 19(3):1. Mohd Yusof. F. (n.d). Kaedah Penyelesaian dalam Menangani Pertukaran Agama dalam Kalangan Masyarakat Melayu-Islam di Johor, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Di muat turun pada 17 September 2017 daripada https://eprints.utm.my/7864/1/78097.pdf Pegawai Jabatan Kehakiman Syariah Pulau Pinang. Perlembagaan Persekutuan 1957 Shuaib. F. S. (2008a). Powers and Jurisdiction of Syariah Courts in Malaysia. Edisi Kedua. Petaling Jaya: Lexis Nexis. Shuaib. F. S. [2008b]. Development of Syariah Courts in Malaysia: Waves of Reformation. 9 CLJ xii. 262